WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAKYAT MALAYSIA DI MESIR DIMINTA ELAK KAWASAN DEMONSTRASI, TUMPUAN PIHAK KESELAMATAN

01/03/2026 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah meminta semua rakyat Malaysia di Mesir supaya mengelakkan kawasan demonstrasi awam dan lokasi yang menjadi tumpuan kehadiran pihak keselamatan. 

Menurut notis konsular kedutaan yang dimuat naik di Facebook Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah rakyat Malaysia turut diminta sentiasa membawa dokumen pengenalan diri seperti pasport, visa dan kad pelajar yang sah dan tidak tamat tempoh setiap masa.

“Elakkan menulis atau menyebar maklumat yang tidak disahkan yang boleh ditafsir sebagai mengganggu elemen ketenteraman yang menyalahi undang-undang tempatan,” menurut notis itu.

Notis itu turut meminta rakyat Malaysia untuk mengikuti perkembangan dan arahan terkini daripada pihak berkuasa Mesir, merujuk  dan menyemak maklumat perjalanan terkini yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan dan kekal tenang serta mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang sahih. 

Rakyat Malaysia juga diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi peraturan arahan semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa, menurut notis itu. 

Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar dan ingin mengemas kini maklumat keberadaan dengan Kedutaan adalah dinasihatkan untuk mendaftar melalui pautan https://ekonsular.kln.gov.my (sila rujuk manual pengguna modul https://ekonsular.kln.gov.my).

Sebarang kes kecemasan yang memerlukan bantuan konsul, sila hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir di alamat 10 Street 261, Maadi, Kaherah. Telefon: +02 2517 4210 / +20 120 027 6388 (24 jam) atau emel mwcairo@kln.gov.my / cai.consular@kln.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan