KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) – Skuad hoki lelaki negara membuka kempen kelayakan Piala Dunia dengan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Austria dalam aksi Kumpulan B di Ismailia, Mesir, hari ini.
Malaysia bagaimanapun dikejutkan seawal minit ketiga menerusi pukulan penalti strok oleh Fulop Losonci sebelum skuad negara menunjukkan taring, dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-24 hasil jaringan padang berturut-turut oleh Azrai Aizad Abu Kamal dan Shello Silverius.
Momentum kemenangan diteruskan apabila Norsyafiq Sumantri menjaringkan gol keempat menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34, dengan Azrai Aizad sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring 10 minit kemudian, diikuti Akhimullah Anuar Esook menambah gol kelima pada minit ke-52 menerusi jaringan padang.
Marhan Jalil melengkapkan kemenangan besar Malaysia dengan gol keenam hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-57, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga dalam aksi pembukaan kumpulan.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B seterusnya dijadual menentang Pakistan esok, sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan bertemu China pada Rabu ini.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir, manakala pemenang peringkat empat terbaik bakal berentap pada pentas final.
Sementara itu, ketua jurulatih Speedy Tigers Sarjit Singh yang berpuas hati dengan kemenangan itu mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu selesa, sebaliknya terus memperkemas aspek penyudah menjelang pertemuan menentang Pakistan esok.
“Kami perlu memulakan permainan dengan baik … dan memastikan pertahanan yang kukuh. Kami juga perlu memastikan setiap peluang disempurnakan dengan baik untuk menghasilkan gol.
“Kami perlu menghasilkan gol seperti hari ini, memanfaatkan peluang yang ada dan menguasai perlawanan. Itulah yang kami lakukan. Kami mempunyai pasukan yang baik dan para pemain beraksi cemerlang,” katanya menerusi video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia, malam ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial