WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR MAHU USAHA BELA NASIB RAKYAT DIPERGIAT DI SEMUA PERINGKAT

01/03/2026 09:45 PM

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa usaha membela nasib rakyat miskin mesti dipergiat dan digerakkan secara menyeluruh di semua peringkat masyarakat.

Beliau berkata semangat Ramadan wajar diterjemahkan melalui langkah lebih berkesan bagi membantu golongan kurang bernasib baik tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Cari ikhtiar serta kaedah baharu dan perbaiki prestasi serta usaha kita membela nasib rakyat miskin berbanding bulan dan tahun-tahun lalu.

“Kita lihat setiap masjid, surau, sekolah, rumah ibadat dan hospital. Bagaimana kehidupan rakyat di setiap kampung serta kawasan pedalaman, dari Perlis hingga ke Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan; dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Anwar berkata Ramadan membawa mesej kebajikan, kemaslahatan dan keadilan yang wajar diterjemahkan melalui tindakan nyata dalam membantu rakyat yang memerlukan.

“Berikan gambaran bahawa Islam adalah agama yang menzahirkan kasih sayang dan ihsan yang mengatasi segala fahaman lain,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyeru pimpinan PKR di semua peringkat supaya menggerakkan usaha menyampaikan maklumat serta memberikan penjelasan yang baik kepada masyarakat.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Palestin di Gaza. 

Inisiatif berskala nasional itu diterajui MAPIM bersama Sumud Nusantara dengan dukungan penuh Kerajaan Malaysia. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan