WILAYAH - TENGAH > BERITA

HINA ISLAM: 43 SAKSI DIREKOD KETERANGAN BANTU SIASATAN - POLIS

02/03/2026 12:05 AM

KUANTAN, 1 Mac (Bernama) -- Polis telah merakam percakapan 43 saksi bagi membantu siasatan kes foto al-Quran dipijak yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata sebanyak 62 laporan polis telah diterima dari seluruh negara setakat ini dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara esok bagi mendapatkan nasihat serta arahan lanjut selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan ketenteraman awam serta sensitiviti agama.

“PDRM akan menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian dan keamanan negara,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam menerusi media sosial dengan memijak al-Quran.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata reman terhadap lelaki berumur 21 tahun itu yang tamat semalam disambung hingga Selasa ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan