KANGAR, 1 Mac (Bernama) -- Kuching City FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Imigresen FC hasil sepakan penalti penyerang mereka Wanja Ronald Ngah pada minit ke-84 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, malam ini.
Bertindak sebagai tuan rumah di gelanggang baharu, Imigresen FC mempamerkan disiplin tinggi di bahagian pertahanan bagi mengekang asakan pasukan pelawat yang lebih menguasai permainan, terutama menerusi gerakan Joao Pedro Da Silva Freitas.
Penjaga gol Imigresen FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin, turut beraksi cemerlang dengan beberapa kali menafikan percubaan berbahaya Kuching City FC, sekali gus memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sepanjang sebahagian besar perlawanan.
Memasuki separuh masa kedua, Kuching City FC meningkatkan tekanan dan memperoleh beberapa peluang termasuk menerusi sepakan penjuru, namun kekentalan benteng pertahanan tuan rumah mengekang usaha mereka.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-84 apabila pengadil, Afdzal Hilmi Zulkiflee, menghadiahkan sepakan penalti kepada Kuching City FC susulan insiden di dalam kotak penalti. Wanja Ronald Ngah tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk membawa pasukannya meraih tiga mata penuh.
Dengan keputusan ini, Kuching City FC kekal di tangga keempat dengan 34 mata, manakala Imigresen FC berada di tangga kelapan dengan 18 mata selepas 17 perlawanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial