WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH RAYUAN KEKALKAN PENJARA 18 BULAN KE ATAS BEKAS PENJAWAT AWAM CABUL WANITA

02/03/2026 05:55 PM

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Bekas penjawat awam diperintahkan menjalani hukuman penjara 18 bulan bermula hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan mencabul seorang wanita, 15 tahun lepas.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Supang Lian, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy, menolak rayuan Zolkapli Long @ Mohamad terhadap sabitan kesalahannya kerana mencabul kehormatan seorang wanita yang juga klien di tempat beliau bertugas.

Mahkamah mengeluarkan waran komital terhadap Zolkapli, 57, untuk mula menjalani hukuman penjara bermula hari ini. Sebelum ini, beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman serta jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.

Hakim Muniandy, yang membacakan keputusan sebulat suara, berkata Mahkamah Tinggi tidak melakukan kesilapan dalam menyabitkan Zolkapli atas kesalahan mencabul, dan tepat dalam membuat kesimpulan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya tanpa sebarang keraguan munasabah.

Pada 2022, Mahkamah Majistret membebaskan dan melepaskan Zolkapli daripada pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Namun, Mahkamah Tinggi pada 2023 membatalkan pembebasan Zolkapli dan mendapati beliau bersalah kerana mencabul kehormatan wanita tersebut. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Zolkapli.

Kesalahan itu dilakukan ke atas mangsa, yang ketika itu berumur 19 tahun, di pejabatnya di Langkawi pada kira-kira 2.45 petang, 20 Okt 2011.

Di Mahkamah Rayuan, peguam Fozi Addhwa Mohammad Fozi mewakili peguam Zolkapli iaitu G. Ravishankar dan Muhammad Nizam Zaidi, manakala Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini mewakili pihak pendakwaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan