WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PASTIKAN OBJEKTIF PENGURUSAN KEWANGAN AWAM DITERJEMAH KEPADA HASIL FISKAL LEBIH BAIK

02/03/2026 11:21 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kerajaan memastikan objektif pengurusan kewangan awam di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) diterjemahkan kepada hasil fiskal yang lebih baik melalui pengukuhan rangka kerja tadbir urus berasaskan peraturan, ketelusan dan akauntabiliti.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), ini dilaksanakan tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat serta kejelasan hala tuju dasar yang menambah baik keyakinan pelabur.

MOF berkata, akta itu antara lain menetapkan sasaran fiskal yang jelas termasuk had defisit dan pengurusan hutang sebagai panduan kepada perancangan belanjawan tahunan, Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan penyediaan rancangan pembangunan negara lima tahun.

“Pendekatan ini memastikan perbelanjaan kerajaan kekal berdisiplin dan pada masa sama memberi ruang fiskal untuk melindungi kumpulan berpendapatan rendah dan menyokong pertumbuhan ekonomi,” menurut MOF dalam jawapan bertulis bagi Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai langkah kerajaan untuk memastikan objektif pengurusan kewangan awam melalui Akta Tanggungjawab Kewangan Awam diterjemahkan secara jelas kepada hasil yang lebih baik serta ketelusan fiskal kepada rakyat. 

Kementerian berkata, melalui komitmen perbelanjaan pembangunan tahunan melebihi tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kerajaan mengutamakan perbelanjaan berimpak tinggi yang menyokong kesejahteraan rakyat termasuk bantuan dan perlindungan sosial bersasar dan peningkatan akses kesihatan dan pendidikan serta pembangunan kemahiran tenaga kerja.

“Pendekatan bersasar ini memastikan sumber awam dimanfaatkan secara lebih berkesan oleh golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Menurut MOF, kerajaan memperkukuh ketelusan fiskal melalui keperluan pelaporan menyeluruh termasuk penerbitan dokumen seperti Laporan Tinjauan Ekonomi, Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan serta Laporan Prestasi Perbelanjaan Pertengahan Tahun, di samping memperkenalkan Penyata Risiko Fiskal dan Penyata Perbelanjaan Cukai.

“Dokumen-dokumen ini diterbitkan secara terbuka bagi membolehkan rakyat, ahli parlimen, penganalisis ekonomi serta pelabur menilai peruntukan belanjawan dan dasar fiskal kerajaan,” katanya.

MOF berkata akta itu turut menginstitusikan mekanisme pemantauan dan akauntabiliti dasar fiskal negara iaitu peranan Jawatankuasa Dasar Fiskal dalam pemantauan serta perancangan dasar fiskal dan keperluan membentangkan pelan pelarasan fiskal kepada Parlimen sekiranya berlaku penyimpangan daripada objektif fiskal yang telah ditetapkan.

Mekanisme ini memastikan sebarang penyesuaian fiskal dibuat secara telus, berperingkat dan tidak menjejaskan perlindungan sosial asas, katanya.

Menurut kementerian, dengan disokong asas ekonomi yang kukuh, pengukuhan tatakelola dan disiplin fiskal membantu mengekalkan keyakinan pasaran terhadap kredibiliti pengurusan ekonomi dan kewangan negara.

“Prestasi ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025, menjadikan pertumbuhan keseluruhan KDNK bagi 2025 sebanyak 5.2 peratus, melebihi unjuran asal 4.0 peratus hingga 4.8 peratus,” katanya. 

MOF berkata, secara keseluruhannya, pelaksanaan Akta 850 memastikan pengurusan kewangan awam yang lebih berdisiplin dan telus di samping mengekalkan fokus belanjawan kepada kesejahteraan rakyat, pengukuhan daya tahan ekonomi dan kemampanan fiskal jangka panjang.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan