WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERKHIDMATAN PENERBANGAN MALAYSIA AIRLINES KE LONDON, PARIS BEROPERASI SEPERTI DIJADUALKAN

02/03/2026 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Malaysia Airlines mengesahkan semua perkhidmatan penerbangannya ke dan dari London serta Paris terus beroperasi seperti dijadualkan.

Syarikat penerbangan nasional itu dalam satu hantaran di platform media sosial rasminya berkata, Malaysia Airlines menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kawasan yang terjejas selain memastikan piawaian keselamatan yang tertinggi.

"Walaupun hal ini mungkin menyebabkan masa penerbangan sedikit lebih lama, keselamatan penumpang dan kru tetap menjadi keutamaan kami," kata syarikat penerbangan itu.

Malaysia Airlines juga berkata pihaknya terus memantau situasi dengan teliti bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai untuk semua penumpang.

"Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh para pengembara di rantau ini. Pasukan kami sedia membantu mereka yang mempunyai keperluan perjalanan mendesak atau penumpang yang terkesan akibat gangguan serantau yang lebih luas," katanya.

Penumpang digalakkan untuk mengemas kini butiran perhubungan masing-masing melalui "My Booking" di laman sesawang http://malaysiaairlines.com untuk menerima maklumat terkini tepat pada masanya.

Selain itu, penumpang dinasihatkan untuk menghubungi melalui chat langsung yang tersedia di laman sesawang di https://malaysiaairlines.com/my/en/askmh atau menghubungi 1 300 88 3000 di dalam Malaysia dan +603 7843 3000 di luar Malaysia.

Pengumuman ini dibuat selepas konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran mengganggu operasi lapangan terbang secara ketara di seluruh dunia dengan ribuan penerbangan dari Timur Tengah dibatalkan dan ruang udara di rantau ini ditutup selepas serangan oleh AS dan Israel ke atas Iran pada Sabtu.

Susulan konflik berkenaan, Malaysia Airlines melanjutkan penggantungan semua penerbangan ke dan dari Doha (DOH), Jeddah (JED) dan Madinah (MED) sehingga 4 Mac, 2026 susulan pembatalan penerbangan yang dilaksanakan dari 28 Februari hingga 1 Mac, 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan