KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Muscat telah mengadakan lawatan konsular ke beberapa buah hotel di ibu negara Oman bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas susulan ketegangan serantau yang semakin memuncak sehingga menjejaskan perjalanan udara di seluruh Timur Tengah.
Menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin, kedutaan memaklumkan lawatan pada 1 Mac itu diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara Nur Misuari Harun dengan diiringi pegawai-pegawai kedutaan yang lain.
Pasukan itu melawat beberapa hotel di Muscat, yang menempatkan rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan perjalanan bagi menilai kebajikan mereka serta memberikan bantuan yang diperlukan.
Dalam hantaran berasingan, kedutaan menyatakan bahawa hasil pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat mendapati kebanyakan kaunter syarikat penerbangan masih ditutup dan menasihatkan penumpang supaya tidak membeli tiket secara terus di lapangan terbang.
Kedutaan turut menasihatkan rakyat Malaysia yang terkandas agar sentiasa berkoordinasi dengan ejen pelancongan masing-masing dalam mengatur penerbangan seterusnya.
Penumpang juga diingatkan untuk mendapatkan sebarang visa transit yang diperlukan sebelum berlepas bagi mengelakkan komplikasi lanjut.
Ia berkata pihak kedutaan terus memantau situasi berkenaan dengan teliti dan sedang berusaha mendapatkan maklumat terkini bagi membantu penumpang yang terjejas.
Gangguan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang meruncing di rantau berkenaan selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan siri serangan ke atas sasaran di Iran pada Sabtu, yang mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei. Ratusan kematian dalam kalangan orang awam turut dilaporkan.
Iran kemudiannya bertindak balas dengan serangan peluru berpandu ke atas wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Timur Tengah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial