KOTA KINABALU, 2 Mac (Bernama) -- Persatuan Wartawan Sabah (SJA) memperkenalkan dua kategori tambahan sempena penganjuran Kinabalu Press Awards (KPA) 2026, yang dibuka secara rasmi untuk penyertaan bermula hari ini. (2 Mac)
Presiden SJA Mariah Doksil berkata dua kategori baharu tersebut iaitu Entertainment, Culture and Arts Photography Award dan Anugerah Wartawan Harapan diperkenalkan khusus untuk memperkasakan bakat pengamal media.
Beliau berkata penambahan terbaru ini menjadikan penganjuran KPA 2026 menawarkan lapan kategori secara keseluruhan, yang melibatkan penyertaan dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.
"Dua kategori baharu ini diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai dalam kalangan wartawan muda. Selain itu, ia juga bagi memberi peluang kepada para jurugambar untuk memperluas liputan yang mempromosikan budaya tempatan, seni, industri muzik serta artis-artis tempatan.
“Langkah ini dijangka merancakkan lagi persaingan sihat dalam kalangan pengamal media di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk terus menghasilkan karya yang cemerlang,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.
Menurutnya, SJA sekali lagi berbesar hati melantik Malaysian Press Institute (MPI) sebagai Sekretariat Pengurusan Penyertaan dan Penghakiman KPA 2026, dan semua penyertaan perlu dihantar secara dalam talian melalui: http://www.mpi.my/wp/award/kpa-2026.
“SJA amat menggalakkan setiap peserta menghantar artikel berimpak tinggi. Hal ini bertujuan memastikan karya berkenaan bukan setakat dipertandingkan di peringkat KPA, malah mempunyai kualiti melayakkannya dibawa ke peringkat nasional seperti Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM),” katanya.
Mariah berkata penyertaan KPA 2026 hanya dibuka untuk laporan berita yang telah diterbitkan antara 1 Jan hingga 31 Dis 2025, dan tarikh tutup penyertaan adalah pada15 Mac ini.
Sebarang pertanyaan mengenai kategori, hadiah, syarat dan peraturan pertandingan boleh dirujuk melalui pautan laman web tersebut atau diajukan terus kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KPA 2026 Mohd Nazllie Zainul (013-8542972) atau Setiausaha SJA Siti Aisyah Narudin (019-8508059).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial