WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN 49 INDIVIDU DALAM OPS PINTAS DI PERAIRAN SABAK BERNAM

02/03/2026 10:16 PM

​​KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 49 individu termasuk tiga tekong warga Indonesia dalam satu operasi bersepadu khas Ops Pintas di perairan Sabak Bernam, Selangor, awal pagi tadi. 

​Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman CP Datuk M. Kumar berkata dalam operasi kira-kira 2 pagi itu, Bahagian D3 JSJ dengan kerjasama beberapa pasukan lain telah melakukan serbuan di lokasi yang terletak tiga batu nautika dari perairan berkenaan. 

Beliau berkata tangkapan melibatkan tiga lelaki warga Indonesia dipercayai tekong berusia 42 hingga 45 tahun, serta 46 migran warga sama terdiri daripada 26 lelaki dan 20 wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun. 

​"Siasatan awal mendapati kesemua migran itu dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia, dari persisiran pantai Sabak Bernam dengan menggunakan bot jenis 'pom pom'.

​"Bayaran yang dikenakan bagi setiap migran kira-kira RM1,500 hingga RM2,000 seorang, yang dibayar secara tunai kepada transporter," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. 

​"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat di bawah peruntukan Akta ATIPSOM 2007.

"Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah ini melalui balai polis berhampiran," katanya. 

​Operasi itu turut melibatkan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Task Force NSO MAPO Kementerian Dalam Negeri.

​-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan