KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar, memaklumkan bahawa keadaan keselamatan di Qatar dan rantau Teluk masih belum stabil sepenuhnya susulan perkembangan terkini di rantau itu.
Kedutaan dalam satu notis kepada rakyat Malaysia di negara berkenaan pada Isnin, memaklumkan bahawa insiden terbaharu dilaporkan berlaku di kawasan industri Ras Laffan dan Mesaieed, namun hanya melibatkan kerosakan kecil.
“Oleh itu, semua rakyat Malaysia di Qatar adalah dinasihatkan untuk terus berwaspada dan TIDAK KELUAR, kecuali untuk urusan mustahak sahaja,” menurut notis itu yang dimuat naik di Facebook Kedutaan itu.
Sementara itu, menerusi hantaran berlainan, kedutaan memaklumkan satu proses pengumpulan data sedang dijalankan bagi mengemas kini rekod rakyat Malaysia yang berada atau terkandas di Qatar bagi memastikan maklumat terkini dan lengkap dapat diperoleh.
“Langkah itu bertujuan membolehkan maklumat penting disalurkan dengan lebih cepat dan tepat sekiranya diperlukan,” katanya.
Pautan itu boleh diakses di laman Facebook rasmi Kedutaan.
Ketegangan di Timur Tengah memuncak pada Sabtu apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan beberapa pegawai kanan Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Tehran telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan ke atas Israel dan aset AS di negara Teluk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial