BUTTERWORTH, 4 Mac (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat yang mengusahakan kilang pemasangan kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengimport barangan larangan pada 2024.
Pengarah Syarikat BKCV Sdn Bhd, Kan Keat Peng, 58, yang didakwa bersama dua lagi tertuduh, terlibat dalam mengimport 10 set Van Mini RY6600 pemasangan tempatan (CKD) bernilai RM832,306 dalam beberapa kontena, yang merupakan barang larangan import di bawah Butiran 3, Bahagian I, Jadual II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Kesalahan itu dilakukan di Bay Pemeriksaan Kastam, Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada 10.30 pagi, 4 Sept 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(ii)(aa) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM16.647 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) A. Uvarajan menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dengan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Zunurajriya Muhamad Zukri memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak selain perniagaannya terkesan akibat kes itu.
Hakim Roslan Hamid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan sebelum menetapkan 30 April bagi serahan dokumen dan kehadiran dua tertuduh lain yang tidak hadir hari ini akibat influenza.
Di mahkamah sama, Kan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama dua lagi tertuduh membuat pengisytiharan tidak betul dengan menyatakan kod tarif 8702.10.5000 untuk CKD tetapi dagangan tersebut adalah kenderaan import sepenuhnya (CBU) dengan kod tarif 8702.10.9900 dalam Borang Kastam di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada 29 Ogos 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 133(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dan pembelaan mengekalkan jaminan dan rayuan mitigasi yang sama seperti pertuduhan pertama manakala mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sebelum menetapkan 30 April bagi sebutan semula dan kehadiran dua tertuduh lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial