WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELURU BERPANDU IRAN BEDIL PANGKALAN BESAR AS DI QATAR

04/03/2026 04:55 PM

BEIRUT, 4 Mac (Bernama-dpa) -- Peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran mengenai pangkalan Al-Udeid di Qatar, pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) terbesar di Timur Tengah, menurut Kementerian Pertahanan Qatar pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kementerian itu dalam kenyataan berkata negara berkenaan menjadi sasaran dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran. “Sistem pertahanan udara berjaya memintas satu daripada peluru berpandu itu, manakala peluru berpandu kedua mengenai Pangkalan Al-Udeid Qatar tanpa menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.”

Kementerian itu tidak memberikan maklumat mengenai lokasi tepat impak peluru berpandu berkenaan atau kemungkinan kerosakan yang berlaku.

Al-Udeid, yang turut digunakan oleh pasukan Qatar dan Britain, terletak di pinggir Doha.

Iran sebelum ini telah menyerang pangkalan itu tahun lepas sebagai tindak balas terhadap pengeboman kemudahan nuklear Iran oleh AS.

Tentera Iran juga memaklumkan bahawa ia melancarkan serangan terhadap pangkalan itu sebagai tindak balas terhadap serangan bersama AS-Israel di seluruh Iran pada Sabtu.

Al-Udeid merupakan antara pangkalan AS paling penting di Timur Tengah. Menurut laporan, kira-kira 10,000 anggota tentera dan kakitangan awam biasanya ditempatkan di pangkalan berkenaan. Pangkalan itu juga berfungsi sebagai pusat perintah bagi operasi ketenteraan AS di rantau ini.

Ibu pejabat Markas Pemerintahan Pusat AS bagi Timur Tengah (CENTCOM) terletak di Tampa, Florida.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan