WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ACLE: JDT BENAM SANFRECCE HIROSHIMA 3-1

04/03/2026 11:20 PM

ISKANDAR PUTERI, 4 Mac (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim FC (JDT) membenam Sanfrecce Hiroshima 3-1 pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan kendalian Xisco Munoz membawa bekalan selesa pada aksi timbal balik di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima pada 11 Mac ini.

Terdahulu, aksi awal perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan melancarkan beberapa percubaan bagi memecahkan kebuntuan.

Bagaimanapun, Sanfrecce Hiroshima terpaksa bertarung dengan 10 pemain apabila Kim Ju Sung dilayangkan kad merah pada minit ke-26 selepas menjatuhkan Nene.

Terdahulu, Kim dikenakan kad kuning pada minit keenam apabila mengasari Jairo De Macedo.

Jaringan pertama JDT hadir pada babak kedua perlawanan menerusi Ager Aketxe Barrutia pada minit ke-52.

Hantaran Joao Vitor Figueiredo dalam kotak penalti pula membantu Bergson Da Silva merembat masuk untuk gol kedua Harimau Selatan pada minit ke-63.

Sanfrecce Hiroshima terus dikecewakan hasil rembatan Marcos Guilherme pada minit ke-84 yang mudah membolosi gawang pasukan dari Jepun itu selepas menerima hantaran daripada Oscar Arribas. 

Usaha anak buah Bartosch Paul Gauli untuk merapatkan jurang jaringan akhirnya berhasil menerusi gol saguhati hasil jaringan sendiri oleh Nene seminit kemudian.

Keputusan kekal 3-1 sehingga tiupan wisel penamat.

Pada 10 Feb lepas, Harimau Selatan tewas tipis 1-2 kepada kelab Liga 1 Jepun (Liha J1) itu pada aksi kumpulan Zon Timur di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima ketika beraksi dengan 10 pemain pada awal babak pertama.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan