PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) membongkar kegiatan penyalahgunaan pas serta manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) secara dalam talian menerusi dua operasi khas berasingan di Johor pada 2 dan 3 Mac lepas, dengan penahanan 16 warga asing dan seorang lelaki tempatan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi yang digerakkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Johor itu hasil risikan terperinci dan pemantauan berterusan selama dua bulan menggunakan pendekatan smart enforcement.
Beliau berkata dalam operasi pertama pada 2 Mac di sekitar Taman Setia Tropika, Johor Bahru, sebanyak 11 warga asing ditahan terdiri daripada lapan wanita warga Thailand serta dua wanita dan seorang lelaki warga Vietnam.
"Semakan awal mendapati terdapat kes tinggal lebih masa serta penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori Pembantu Rumah Asing (PRA) untuk bekerja sebagai pelayan di premis hiburan.
"Pasukan operasi turut menyita pasport asing, peralatan rakaman digital, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,025, yang dipercayai hasil kegiatan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, premis berkenaan dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan telah beroperasi kira-kira setahun.
Dalam operasi kedua pada 3 Mac di sekitar Batu Pahat, Skudai dan Johor Bahru, Zakaria berkata pihaknya berjaya menumpaskan sindiket menyalahgunakan kemudahan permohonan Sistem Maid Online (SMO).
"Empat wanita warga Vietnam, satu wanita Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket telah ditahan.
"Siasatan mendapati sindiket ini mengemukakan maklumat dan dokumen yang disyaki palsu untuk mendapatkan kemudahan PLKS kategori PRA bagi individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan," katanya.
Beliau berkata sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(k).
"Kejayaan dua operasi ini membuktikan bahawa JIM bukan sahaja mempergiat penguatkuasaan di lapangan, malah memantau secara digital bagi memastikan sistem imigresen negara tidak dimanipulasi oleh sindiket.
"Jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan kemudahan imigresen negara dan tindakan undang-undang akan diambil tanpa pengecualian demi memelihara integriti sistem dan keselamatan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial