WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN TIGA LAGI SUSPEK PERGADUHAN DI BALAI POLIS MERU

05/03/2026 03:57 PM

SHAH ALAM, 5 Mac (Bernama) -- Polis menahan baki tiga lagi individu disyaki terbabit dalam kes pergaduhan di Balai Polis Meru, Klang dekat sini pada Isnin lepas. 

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata semua lelaki tempatan berusia 38 hingga 44 tahun itu direman sehingga esok dan Sabtu, manakala reman lima lagi suspek yang telah ditangkap disambung hingga esok. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua mereka saling mengenali dan kejadian berpunca daripada perebutan kawasan bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan keselamatan di tapak perumahan. 

“Semakan mendapati sebahagian suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berat merangkumi kes bunuh, cubaan membunuh, samun berkumpulan, merusuh dengan senjata dan pecah rumah.

“Malah, seorang suspek merupakan individu dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 selain seorang lagi positif dadah jenis benzo,” katanya pada sidang media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sini hari ini.

Shazeli berkata polis merampas sebuah topi keledar dan sebatang paip besi dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden tersebut. 

Beliau berkata anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihaknya akan mempertingkat aspek keselamatan balai polis di kawasan rumah kedai.

“Balai Polis Meru merupakan kawasan rumah kedai berbanding balai polis lain yang mempunyai pagar dan sentri pengawal. Jadi ia hanya ada pintu hadapan dan terus kaunter atau pejabat pertanyaan.

“Itu antara kelemahan akan diperbaik dan diperkemas supaya aspek keselamatan balai polis bersifat rumah kedai ditingkatkan pada masa akan datang,” katanya. 

Shazeli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 427 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata lima lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun ditahan susulan pergaduhan di Balai Polis Meru. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan