PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berpandangan pengurusan derma kekal Hindu lebih sesuai dikendalikan oleh kerajaan negeri memandangkan ia mempunyai kaitan rapat dengan pemilikan serta pengurusan tanah bagi tujuan pembinaan dan pentadbiran kuil.
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan walaupun perkara berkaitan derma kekal Hindu sememangnya berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, ia tetap mempunyai hubungan langsung dengan hal ehwal tanah yang terletak di bawah bidang kuasa negeri.
Perkara berkaitan derma kekal Hindu diperuntukkan di bawah Butiran 15(c), Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, manakala hal ehwal tanah pula berada di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Butiran 2, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
"Pendekatan ini penting bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran derma kekal Hindu dapat dilaksanakan secara sah, teratur serta selaras dengan undang-undang negeri yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
KPN menjelaskan pendekatan berkenaan telah dilaksanakan melalui penubuhan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, iaitu walaupun undang-undang penubuhannya digubal oleh pihak Persekutuan pada ketika itu, kuasa untuk mewujudkan lembaga tersebut diberikan kepada Yang Dipertua Negeri.
Sehubungan itu, kementerian berkenaan memaklumkan sekiranya komuniti Hindu di mana-mana negeri berpandangan terdapat keperluan untuk menubuhkan lembaga wakaf Hindu, cadangan tersebut boleh dikemukakan kepada kerajaan negeri masing-masing.
Cadangan itu seterusnya boleh diangkat menerusi Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Bersama Menteri Perpaduan Negeri Sabah dan Sarawak serta Exco-Exco Perpaduan Negeri (MExUnity).
"Kerajaan Persekutuan komited untuk mempertimbangkan perkara tersebut serta menggubal undang-undang yang bersesuaian bagi tujuan penubuhannya.
"Perkara ini juga selaras dengan Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa setiap kumpulan agama berhak memegang dan mentadbir harta mereka mengikut undang-undang," menurut kenyataan itu.
Menurut KPN, Kerajaan MADANI komited dalam memelihara kebebasan beragama serta memastikan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai agama di negara ini.
"Pendekatan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menggalakkan sikap saling menghormati, memahami dan menerima kepelbagaian agama sebagai asas penting kepada kestabilan serta kesejahteraan negara," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial