KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Nisbah guru pendidikan khas kepada murid di Petaling Jaya, dikenal pasti antara tertinggi susulan permintaan besar dalam kalangan ibu bapa dan murid berkeperluan pendidikan khas serta kekangan ketersediaan guru, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Beliau berkata keadaan itu berlaku di beberapa daerah tertentu walaupun secara keseluruhan nisbah guru kepada murid hampir mencapai sasaran 1:6.5 iaitu seorang guru bagi 6.5 murid.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah merangka langkah jangka pendek dan panjang bagi menambah guru pendidikan khas.
“Bagi jangka pendek, KPM memperkenalkan Kursus Pendedahan Pendidikan Khas kepada guru arus perdana yang berminat menyertai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Kursus tiga hari dua malam itu membolehkan mereka diserap sebagai guru pendidikan khas dengan 224 guru diserap tahun lepas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Wong menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli yang bertanyakan mengenai kesiapsiagaan kerajaan menangani kekurangan guru mengikut lokaliti termasuk melalui kerjasama dengan pihak swasta.
Sebagai langkah jangka panjang pula, Wong berkata pengambilan dibuat melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang mengambil masa lima tahun, selain lantikan secara Contract of Service (COS) mengikut keperluan.
“KPM cakna dengan keperluan semakin meningkat. Untuk itu, dalam masa terdekat juga, KPM akan menempatkan 533 calon simpanan yang diperakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada April ini dan disusuli 287 lantikan baharu pada bulan sama,” katanya.
Turut dijangka ditempatkan tahun ini ialah 205 graduan PISMP yang akan berkonvokesyen pada Jun serta tambahan 268 calon simpanan bagi opsyen Pendidikan Islam.
“Secara keseluruhan, KPM menjangkakan sekurang-kurangnya 1,293 guru pendidikan khas baharu ditempatkan tahun ini, tidak termasuk lantikan tambahan yang mungkin dibuat menjelang akhir tahun,” katanya.
Terdahulu, Wong berkata sehingga 31 Jan lepas, jumlah murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) adalah 154,557 orang dan daripada jumlah itu, 3,299 orang berada di sekolah pendidikan khas (SPK), diikuti 127,005 orang di sekolah arus perdana melalui PPKI dan 24,253 orang di Program Pendidikan Inklusif (PPI).
Bagi guru pendidikan khas, sebanyak 21,876 jawatan ditawarkan sehingga 31 Jan dengan 20,420 daripadanya telah diisi iaitu seramai 19,037 adalah Guru Program Integrasi di PPKI, diikuti 10,577 orang Guru Program Integrasi sekolah rendah dan 8,460 orang Guru Program Integrasi sekolah menengah, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial