WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN KAJI LANTIK 'TRANSPORTER' KENDALI JUALAN RAHMAH DI PEDALAMAN - FUZIAH

05/03/2026 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji kemungkinan melantik syarikat pengangkutan atau transporter sebagai pengendali Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata langkah itu dilihat sebagai penyelesaian kepada kekangan dihadapi pengendali sedia ada yang sukar untuk sampai ke kawasan tersebut berikutan kos logistik yang tinggi.

"Sekarang ini Jualan Rahmah kita kadang-kadang tidak sampai ke kawasan pedalaman kerana operator tidak sanggup ke sana atas faktor cabaran kos pengangkutan. Itu sebabnya mereka selalu tolak (permintaan ke sana).

"Jadi kita sedang mengkaji sama ada syarikat pengangkutan ini boleh menjadi operator Jualan Rahmah memandangkan mereka sudah pun menerima subsidi logistik daripada kementerian," katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Abun Sui Anyit yang ingin tahu mengenai mekanisme lebih bersasar bagi menstabilkan harga barang keperluan asas di pedalaman termasuk penglibatan koperasi dan pengusaha pengangkutan tempatan.

Menjelas lanjut, Fuziah berkata KPDN memperuntukkan RM67 juta tahun ini bagi Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan Asas di Sabah, Sarawak dan Labuan melalui inisiatif pelabuhan ke pelabuhan.

Beliau berkata subsidi berkenaan bertujuan menampung kos penghantaran barangan dari Pelabuhan Klang ke pelabuhan utama seperti Kuching dan Kota Kinabalu bagi memastikan harga barangan seperti gula dan bawang tetap stabil.

"Kerajaan turut memperuntukkan RM250 juta bagi tahun ini di bawah Program Pengedaran Barangan Perlu ke kawasan pedalaman yang melibatkan 1,570 kawasan yang dikenal pasti memerlukan Point of Sale (POS), dengan 1,480 daripadanya berada di Sabah dan Sarawak.

"Peruntukan ini diberikan kepada transporter yang dilantik melalui proses tender untuk membawa barangan keperluan asas terus ke POS di pedalaman," katanya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata KPDN telah menyiapkan Kajian Kestabilan Harga dan menubuhkan kumpulan kerja teknikal melibatkan kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pemain industri bagi merangka strategi kestabilan harga jangka panjang.

Kementerian juga, katanya akan menjalankan kajian semula di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menilai keperluan penambahan jumlah POS di kawasan yang belum mendapat liputan bekalan barangan perlu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan