WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TEKNOLOGI KECERDASAN BUATAN BUKAN LAGI PILIHAN, KEPERLUAN STRATEGIK APMM

05/03/2026 06:44 PM

PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan strategik bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam merancang operasi dan penugasan secara lebih sistematik, sekali gus memperkemas pengurusan penyelenggaraan serta logistik.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata agensi itu tidak lagi boleh beroperasi secara reaktif dalam berdepan ancaman di laut dan pendekatan ‘thinking ahead to get ahead’ mesti menjadi budaya kerja setiap pegawai dan anggota.

“Ia bagi memastikan agensi itu kekal relevan serta sentiasa selangkah di hadapan.

“AI mampu membantu APMM mengenal pasti kekuatan sebenar aset di laut, mengesan jurang keperluan, merancang penugasan secara lebih sistematik serta memperkemas pengurusan penyelenggaraan dan logistik,” katanya.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata landskap keselamatan maritim berubah pantas dan menuntut tindakan berasaskan jangkaan risiko serta analisis data, bukan sekadar bertindak selepas sesuatu insiden berlaku.

“Kalau kami hanya bertindak selepas sesuatu berlaku, kami sudah ketinggalan. Kami perlu merancang lebih awal, melihat selangkah ke hadapan termasuk dalam aspek operasi, logistik dan pembangunan modal insan,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempercepat penggunaan teknologi AI bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan kerja serta sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Saifuddin Nasution berkata AI menjadi medium penting untuk membantu organisasi berfikir ke hadapan dan meningkatkan kecekapan pentadbiran.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan