WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AH LONG LETAK KEPALA BABI DI DEPAN RUMAH, KEDAI DI KUALA PILAH DAN TAMPIN

05/03/2026 10:08 PM

SEREMBAN, 5 Mac (Bernama) -- Polis menerima dua laporan berhubung kejadian meletakkan kepala babi di hadapan sebuah rumah di Kuala Pilah dan sebuah kedai di Pekan Tampin, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kedua-dua mangsa dalam kejadian itu ialah lelaki yang mempunyai pertalian antara satu sama lain.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mempunyai kaitan dan dipercayai bermotifkan masalah peribadi antara mangsa dengan suspek yang disyaki pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

“Siasatan mendapati kejadian itu bukan bersifat kebencian terhadap agama oleh mana-mana individu, sebaliknya bertujuan memberi tekanan kepada mangsa supaya melunaskan hutang kepada ah long.

“Polis juga percaya suspek adalah individu sama yang pernah melakukan perbuatan menyimbah cat di kedai berkenaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan sehingga boleh membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Alzafny berkata individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung isu berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan