WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AL-QURAN WAHANA PENTING BIMBING UMAT ISLAM HADAPI CABARAN SEMASA - PM ANWAR

07/03/2026 09:08 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Sejarah yang terpahat dalam al-Quran tidak wajar dipandang ringan, malah menjadi wahana penting untuk memperbaiki kedudukan manusia, mengambil ibrah daripada pengalaman silam dan membimbing umat menghadapi cabaran semasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sempena sambutan Nuzul Quran hari ini, Perdana Menteri berkata Ramadan bukan sekadar sarat dengan rutin ibadah puasa, tilawah al-Quran dan tarawih, tetapi turut mengangkat peristiwa agung penurunan wahyu yang menjadi mukjizat dengan daya transformasi luar biasa. 

"Melaluinya, masyarakat jahiliah berjaya dibentuk menjadi khayra ummah, sebagaimana generasi para sahabat yang dikenal sebagai generasi al-Quran,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata al-Quran bukan sekadar memenuhi maqasid penurunannya dalam memperkukuh akidah dan memuliakan insan, tetapi juga merakamkan misi islah melalui kisah sejarah perjuangan para rasul sebagai pedoman umat.

"Moga kita menjadikan al-Quran sebagai pedoman yang memandu langkah kita, memperkukuh akidah, memaknai kehidupan serta membina sebuah masyarakat yang sejahtera dan berperadaban," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan