SANDAKAN, 7 Mac (Bernama) -- Seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) cedera di bahagian badan akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki dipercayai penjual rokok haram ketika menjalankan rondaan di kawasan pasar Batu 8 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang selepas mangsa menegur seorang lelaki dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan itu.
"Kemudian, berlaku pertengkaran dan mangsa diserang beberapa individu tidak dikenali, mangsa mengalami lebam di bahagian badan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Susulan itu, katanya, polis menjalankan siasatan serta beberapa individu dikenal pasti terlibat dalam kejadian itu dan setakat ini, seorang ditahan.
"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.
Terdahulu, video berdurasi lebih seminit memaparkan kejadian terbabit tular di media sosial.
Sementara itu, Presiden MPS Walter Kenson berkata pihaknya akan memberikan kerjasama bagi memastikan kumpulan penjual rokok haram yang mencederakan penguat kuasa MPS dikenakan tindakan undang-undang.
"Tindakan ganas yang dilakukan sekumpulan penjual rokok haram terhadap penguat kuasa kami di Batu 8, Sibuga Jaya, Sandakan semalam tidak dapat diterima dan kami tidak akan bertoleransi dengan tindakan sedemikian.
"Kami ingin mengingatkan masyarakat bahawa penjualan rokok haram ialah tindakan yang melanggar hukum dan akan dikenakan tindakan tegas," katanya.
Walter berkata MPS akan terus bersama-sama agensi penguatkuasaan lain membanteras kegiatan haram itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial