WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMPEN INTERNET SELAMAT DIPERLUAS KE KAWASAN TUMPUAN UMUM TAHUN INI - FAHMI

07/03/2026 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi mempergiat usaha meningkatkan literasi digital menerusi pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) ke kawasan tumpuan umum seperti perumahan, masjid dan surau tahun ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bertujuan memastikan kesedaran berkaitan keselamatan siber dapat disampaikan kepada komuniti pada peringkat akar umbi.

Beliau berkata fokus pelaksanaan KIS tahun ini adalah kepada persatuan penduduk, jawatankuasa rukun tetangga serta institusi masjid dan surau.

“Di samping itu, kita juga akan mengaktifkan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi memastikan program KIS mencapai matlamatnya,” katanya selepas melancarkan Kempen Internet Selamat @ Bazar Ramadan di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini, hari ini.

Fahmi berkata jika tahun lepas, kempen berkenaan memberikan tumpuan kepada sekolah, tahun ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperluas pelaksanaannya kepada masyarakat umum termasuk di bazar Ramadan.

Beliau berkata usaha memastikan Internet selamat bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau penyedia platform media sosial, tetapi turut memerlukan peranan ibu bapa dalam memantau penggunaan Internet oleh anak-anak.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata edisi Ramadan KIS diadakan bagi meningkatkan kesedaran pengunjung bazar tentang kepentingan mengamalkan budaya penggunaan Internet secara selamat.

Ketika ini, katanya, ramai pengguna media sosial menjadi mangsa buli siber, penipuan dalam talian dan pedofilia, khususnya mereka yang tidak mempunyai tahap literasi digital yang tinggi.

Mengulas tentang kemungkinan gangguan Internet susulan konflik di Timur Tengah, Fahmi berkata perkhidmatan Internet di Malaysia ketika ini berada dalam keadaan baik dan terkawal.

“Saya tidak melihat sebarang masalah besar berdasarkan laporan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). Setakat ini, tiada kesan terhadap sistem urusan dalam talian,” katanya.

Beliau memberikan jaminan bahawa MCMC dan agensi keselamatan negara sentiasa memantau dan memastikan ruang siber negara kekal selamat termasuk daripada sebarang pencerobohan pihak luar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan