WILAYAH - TENGAH > BERITA

KRISIS GLOBAL BUKA RUANG BAHARU KEPADA PMKS TEROKA SEKTOR STRATEGIK

08/03/2026 12:35 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) melihat krisis geopolitik global termasuk ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran sebagai membuka peluang baharu kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk meneroka sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, logistik dan agro makanan.

Presiden PERDASAMA Mohd Azamanizam Baharon berkata ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah, khususnya melibatkan laluan strategik Selat Hormuz dijangka memberi implikasi besar kepada perdagangan dunia kerana hampir 20 peratus bekalan minyak dan gas global melalui kawasan tersebut setiap hari.

“Dalam konteks Malaysia, perkembangan ini mula memberi tekanan kepada PMKS melalui peningkatan kos operasi, kenaikan harga bahan mentah dan kos logistik lebih tinggi serta tekanan terhadap kos sara hidup rakyat, khususnya bagi perusahaan yang bergantung kepada import bahan mentah, pengangkutan antarabangsa dan tenaga.

“Bagaimanapun, PERDASAMA berpandangan bahawa setiap krisis juga membuka ruang kepada peluang baharu dalam sektor keusahawanan strategik yang wajar diteroka oleh usahawan tempatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, peningkatan minyak dan gas dunia akibat ketidaktentuan geopolitik memberi isyarat jelas bahawa industri tenaga baharu dan tenaga tempatan boleh diperbaharu perlu diperkasakan.

“Usahawan PMKS perlu melihat peluang besar dalam sektor seperti tenaga solar, penyimpanan tenaga, teknologi kecekapan tenaga dan penyelesaian tenaga alternatif.

“Permintaan terhadap teknologi ini dijangka meningkat apabila negara dan industri berusaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil yang terdedah kepada risiko geopolitik,” katanya.

Beliau berkata krisis global berkenaan memperlihatkan kepentingan ketahanan rantaian bekalan dan sektor logistik domestik, justeru PERDASAMA menggalakkan lebih ramai usahawan tempatan untuk terlibat secara aktif dalam sektor logistik, pergudangan, pengurusan rantaian bekalan, pengangkutan dan teknologi logistik digital bagi mengukuhkan keupayaan negara mengurus perdagangan dan bekalan.

Azman dalam pada itu berkata sektor agromakanan dan pertanian moden turut mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam situasi ketidaktentuan global.

Beliau berkata pembangunan sektor pertanian berteknologi tinggi bukan sahaja mampu meningkatkan keselamatan makanan negara, malah berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pengeksport makanan kepada negara terjejas akibat krisis global.

Sehubungan itu, PERDASAMA menggesa agar dasar ekonomi negara terus memperkukuh pembangunan tenaga baharu, sektor logistik tempatan dan industri agro makanan berteknologi tinggi bagi memastikan PMKS lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.

“PERDASAMA berpandangan bahawa sektor pertanian moden, perikanan, agromakanan dan industri asas tani tidak lagi boleh dilihat sebagai sektor ekonomi kelas kedua. Hakikatnya, banyak negara maju seperti Belanda, Australia dan New Zealand telah membuktikan bahawa sektor pertanian berteknologi tinggi mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan eksport global,” katanya.

Beliau berkata krisis global juga menuntut semua pihak berfikir secara strategik dan membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan dengan perancangan tepat, usahawan tempatan berpotensi muncul sebagai pemain utama dalam sektor strategik pada masa depan.

Pada 28 Feb, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran termasuk di Tehran, menyebabkan kerosakan serta korban dalam kalangan orang awam.

Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas wilayah Israel dan pangkalan tentera AS di seluruh Timur Tengah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan