ALOR SETAR, 8 Mac (Bernama) -- Syarikat Konsesi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) akan melaksanakan operasi khas sempena Aidilfitri bagi memastikan tahap kebersihan dan pengurusan sisa pepejal di seluruh negeri terus terpelihara sepanjang musim perayaan ini.
Ketua Divisyen Operasi E-Idaman Sdn Bhd Munir Amani Dasheer berkata operasi itu melibatkan 267 unit jentera serta 867 petugas yang digerakkan secara bersepadu bagi memperkukuh operasi kutipan dan pembersihan di kawasan perumahan serta kawasan tumpuan awam.
“Sebanyak 133 unit pemadat (CU), 119 unit mini armroll, tujuh unit open tipper dan lapan unit backhoe akan digunakan bagi mendukung operasi kutipan sisa secara lebih cekap dan sistematik. Sebanyak 388 pekerja dalaman serta 479 pekerja kontraktor terlibat dalam operasi khas ini.
“Bagi memastikan kawasan berada dalam keadaan bersih menjelang raya, operasi akan dijalankan bermula 10 malam hingga 6 pagi pada malam raya, dengan memfokuskan kepada kawasan perumahan, tong pusat dan kawasan dijangka berlaku peningkatan janaan sisa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi menangani peningkatan janaan sisa khususnya di kawasan tong pusat, E-Idaman turut mengenal pasti 238 lokasi tong pusat dan akan melaksanakan kutipan bilas iaitu kutipan tambahan melebihi tahap perkhidmatan standard bagi memastikan sisa tidak melimpah.
“Berdasarkan rekod, jumlah kutipan sisa sepanjang Ramadan 2025 mencatatkan 38,814 tan merangkumi sisa isi rumah, sisa pukal dan sisa pembersihan awam. Dalam tempoh minggu pertama Aidilfitri 2025 pula, sebanyak 9,320 tan sisa telah dikutip di seluruh Kedah.
“Ini menunjukkan peningkatan ketara dalam janaan sisa sepanjang musim perayaan. Jadi, kita ingin menasihati orang ramai untuk memainkan peranan bersama dalam memastikan kebersihan persekitaran dengan mengurus sisa buangan dengan baik serta mematuhi jadual kutipan ditetapkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial