WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PNB SAMBUT BAIK PELAN INDUK CMP DENGAN SASARAN RM6.3 TRILION MENJELANG 2030

10/03/2026 12:32 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyambut baik pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP), menyifatkan sasaran untuk mengembangkan pasaran modal negara kepada RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030 sebagai “tepat pada masanya”.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata pelan itu, yang menekankan peningkatan prestasi korporat, menyediakan pelan hala tuju yang jelas untuk pasaran modal yang cergas, inklusif serta mampan.

Beliau melalui satu kenyataan berkata PNB menyokong tumpuan CMP terhadap daya saing pasaran, tadbir urus dan keyakinan pelabur, terutamanya penjajaran dengan kewangan Islam serta prinsip Maqasid al-Shariah.

“Sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), PNB komited untuk membantu merealisasikan cita-cita ini dengan memainkan peranan kami sebagai pengelola pemangkin, memacu prestasi nilai pemegang saham yang lebih mantap dengan memegang tanggungjawab lembaga, menyokong Tawaran Awam Permulaan yang berkualiti selain membantu syarikat swasta yang berpotensi memasuki pasaran awam,” jelasnya.

PNB berharap dapat mengambil bahagian dalam menyokong pembangunan hutang inovatif dan produk sukuk global yang akan membantu mengembangkan pasaran hutang Malaysia.

“Sebagai syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan lebih 11 juta pemegang unit unik, PNB juga memuji tumpuan berterusan di bawah CMP untuk membantu mengembangkan celik kewangan dan menyediakan akses runcit kepada produk serta perkhidmatan inovatif sebagai sebahagian daripada rancangan dalam membina pasaran modal yang lebih inklusif kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan CMP 2026-2030, pelan tindakan strategik yang bertujuan mengukuhkan penjanaan modal, memberi ganjaran kepada kedinamikan perniagaan, menerapkan kemampanan dan meluaskan penyertaan merentas ekonomi.

CMP direka bentuk untuk meletakkan pasaran modal Malaysia sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dan transformasi ekonomi dalam tempoh 20 tahun akan datang, mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor sedang pesat membangun sambil membina ekonomi yang lebih maju, inklusif, mampan serta bersepadu serantau.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan