DUNGUN, 8 Mac (Bernama) -- Dua lelaki ditahan selepas disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) di Simpang Tiga Jambatan Kampung Tepus, Jerangau di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata lelaki pertama yang berusia 28 tahun ditahan di Rumah Kos Rendah, Bukit Besi pada 1.20 petang.
"Seterusnya pihak polis menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun di Ladang TDM Gajah Mati, Bandar Al Muktafi Billah Shah pada 2.30 petang untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil pendedahan maklumat, pihak polis telah merampas beberapa barang kes termasuk sebilah pemotong, 12 batang keratan kulit kabel milik TM dan satu batang keratan kulit penyambung kabel milik TM.
Maizura berkata sebelum itu seorang juruteknik TM telah menerima panggilan telefon daripada pengurus unit berkenaan berhubung kejadian kecurian kabel di lokasi tersebut pada 3 petang semalam.
Beliau berkata juruteknik berkenaan terus ke lokasi dan mendapati kabel milik TM telah digali serta diambil oleh individu yang tidak dikenali dan kemudian bertindak membuat laporan polis.
"Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan gali pada tanah serta kabel Syarikat TM sepanjang lebih kurang 15 meter yang ditanam di kawasan tersebut turut hilang.
"Siasatan mendapati kabel yang dipotong itu mempunyai wayar tembaga di bahagian dalam dan berfungsi sebagai talian telefon dan Internet," katanya.
Maizura berkata kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing memiliki sembilan dan dua rekod lampau berkait kes dadah, serta positif methamphetamine.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial