WILAYAH - UTARA > BERITA

POLIS BURU DUA SUSPEK CURI KABEL, LARI SELEPAS KERETA LANGGAR RUMAH PENDUDUK

08/03/2026 03:49 PM

IPOH, 8 Mac (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan dua lelaki yang melarikan diri dipercayai terbabit dalam kes mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Kampung Star Kecil, Kerunai dekat Gerik semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam dan berjaya mengesan suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, yang menghala ke Jalan Gerik-Kupang sehingga ke Baling, Kedah.

“Semasa polis sedang mengejar, seorang daripada suspek bertindak membaling alat pemotong kabel, paku dan kabel ke arah kenderaan pelbagai guna milik polis.

“Bagaimanapun, kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan melanggar sebuah rumah di Kampung Parit Panjang di Baling. Pemilik rumah yang tinggal bersama ibu dan adik perempuannya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Samad berkata hasil maklumat daripada pemilik rumah berkenaan, mereka memaklumkan kedua-dua suspek melarikan diri selepas kejadian itu.

Beliau berkata hasil risikan yang dijalankan mendapati kenderaan yang digunakan oleh suspek adalah kenderaan sewa dan hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan 20 gulung kabel, satu telefon bimbit, tiga alat pemotong kabel dan satu pencungkil besi. 

Menurut Abdul Samad, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan Seksyen 186 kanun yang sama kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan