WILAYAH - TIMUR > BERITA

LELAKI OKU MAUT DALAM KEBAKARAN RUMAH DI BACHOK

08/03/2026 04:55 PM

KOTA BHARU, 8 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Mujur-Jelawat, Bachok awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Mohd Zamizi Muhammad berkata mangsa Che Mohd Faizul Che Sulaiman, 41, ditemukan di dalam bilik tidur rumah berkenaan selepas dipercayai terperangkap ketika kebakaran berlaku.

“Ketika kejadian mangsa berada di dalam rumah bersama ibu serta dua adiknya. Bagaimanapun, ahli keluarga lain sempat menyelamatkan diri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Zamizi berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.15 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Bachok digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata jentera bomba tiba di tempat kejadian pada 9.26 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah sementara kekal dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu breaching dan dua pancutan bersama satu sumber air terbuka sebelum kebakaran berjaya dikawal pada 9.38 pagi. Mangsa kemudiannya ditemukan pada 9.43 pagi tadi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan