WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BEKAS PENGAWAL PERIBADI MENYAMAR POLIS DIPENJARA ENAM TAHUN, DUA SEBATAN

08/03/2026 06:10 PM

SUNGAI PETANI, 8 Mac (Bernama) -- Seorang bekas pengawal peribadi yang menyamar sebagai anggota polis dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah menyamun sebuah motosikal serta menyebabkan kecederaan kepada penunggangnya pada bulan lepas.

Mohd Faizal Sinorcho, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Najwa Che Mat di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu menyamun sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki, dan sengaja menyebabkan kecederaan kepada lelaki berkenaan di Jalan Cindai Bandar Puteri Jaya di sini pada 12.45 pagi, 9 Feb lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 392 [Akta 574], yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 14 tahun serta denda atau sebatan.

Sementara itu di dua kamar Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh turut dikenakan hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyamar sebagai polis. 

Di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri, dia didakwa menyamar sebagai polis dengan memakai vest berlogo polis dan memegang gari di hadapan seorang wanita di hadapan pintu CMart Cengal di sini, pada 12.45 pagi, 9 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, dan bagi kesalahan itu, Mohd Faizal dihukum penjara lima bulan.

Di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi pula, dia dituduh menyamar sebagai polis dengan memakai vest berlogo polis dan memperdaya seorang wanita dalam kereta Perodua Viva yang dalam perjalanan dari Gerik, Perak ke Sungai Petani, Kedah antara 5.50 petang hingga 11.30 malam, 8 Feb lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan dan dihukum penjara dua bulan.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal turut menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan ke atasnya selepas  mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita dengan niat melakukan perbuatan mencabul kehormatan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan