KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Seramai 649 rakyat Malaysia kini masih terkandas di beberapa lokasi di Timur Tengah susulan konflik yang semakin meruncing di sebahagian wilayah tersebut, menurut Kementerian Luar.
Dalam satu nasihat media pada Sabtu, kementerian itu memaklumkan bahawa sehingga 6 petang pada 7 Mac, seramai 24,568 rakyat Malaysia telah mendaftar dengan kementerian melalui sistem e-Konsular.
Menurut kenyataan itu, usaha tetap difokuskan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik tersebut dan memudah cara kepulangan mereka melalui penerbangan komersial yang tersedia.
“Perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan juga telah mengalihkan fokus operasi kepada penyelarasan pemindahan dan bantuan konsular,” katanya, sambil menambah bahawa nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 5 Mac kekal berkuat kuasa.
Kabinet Malaysia telah meluluskan pelan luar jangka pemindahan sekiranya situasi keselamatan serantau merosot, sekali gus menekankan keutamaan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas oleh gangguan perjalanan sambil memudahkan kepulangan mereka melalui penerbangan komersial yang sedia ada.
Kementerian itu berkata penyelarasan pemindahan ketika ini menggunakan koridor perjalanan dan penerbangan komersial yang tersedia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Oman dan Turkiye.
Menurut kementerian, sehingga 6 petang hari ini (Sabtu), jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di Oman telah berkurangan daripada 190 kepada lima orang susulan pelepasan baru-baru ini.
Di UAE, seramai 246 rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai telah berlepas, meninggalkan 176 rakyat Malaysia dalam senarai aktif misi tersebut.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang menghubungi baki rakyat Malaysia untuk membantu pengaturan tiket alternatif, termasuk pilihan dengan Air Arabia dan SriLankan Airlines, serta menangani isu penginapan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, penerbangan Emirates EK342 telah berlepas dari Dubai ke Kuala Lumpur pada 6 Mac membawa 222 penumpang warga Malaysia, termasuk pengembara yang terkandas dan kumpulan jemaah yang sedang transit dari Jeddah.
Emirates juga telah menyambung semula jualan tiket Dubai-Kuala Lumpur bermula 7 Mac, tambahnya.
Di Abu Dhabi, 25 rakyat Malaysia masih terkandas manakala lima pengembara telah berlepas.
Di Bahrain, tiada rakyat Malaysia yang terkandas buat masa ini, walaupun 105 rakyat Malaysia telah mendaftar untuk pemindahan sukarela.
Sementara itu, di Arab Saudi, seramai 243 rakyat Malaysia masih terkandas, kebanyakannya terdiri daripada jemaah umrah.
Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah mempertingkatkan penyelarasan dengan operator pelancongan dan pihak berkuasa bagi memudah cara kepulangan mereka.
Katanya, susulan libat urus misi dengan agensi pelancongan untuk melancarkan borang pengumpulan data bagi memberi keutamaan kepada jemaah yang terkandas pada 5 Mac, sebanyak 243 penghantaran borang telah diterima setakat tengah hari 7 Mac, yang membolehkan pegawai memberi keutamaan kepada jemaah persendirian tanpa tiket pulang yang disahkan.
Kementerian itu berkata pergerakan penerbangan dari Jeddah diteruskan, dengan dua penerbangan Malaysia Airlines telah berlepas pada 6 Mac.
Penerbangan seterusnya oleh Malaysia Airlines dan AirAsia dijadualkan pada 8 Mac, manakala Batik Air dijadualkan mengendalikan penerbangan pada 9 Mac.
Pada 6 Mac, tiga penerbangan Emirates dan dua penerbangan Etihad Airways berlepas dari Jeddah ke UAE, menyediakan laluan transit tambahan bagi jemaah Malaysia.
Kementerian berkata sekatan ruang udara terus menjejaskan perjalanan serantau, dengan ruang udara Iraq kekal ditutup manakala penerbangan awam di Qatar kekal terhad.
Kementerian itu juga mengambil maklum kenyataan terbaru yang dikeluarkan Majlis Kepimpinan Interim Iran, dan menambah bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara untuk terus memantau perkembangan.
“Penilaian ini tidak akan menjejaskan usaha untuk membantu rakyat Malaysia di rantau tersebut,” katanya.
Kementerian itu menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, perwakilan diplomatik Malaysia, kerajaan tuan rumah, syarikat penerbangan dan operator pelancongan bagi memudah cara kepulangan selamat rakyat Malaysia yang terjejas oleh konflik itu.
Ia juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan-kerajaan yang terlibat, pihak berkuasa berkaitan dan operator syarikat penerbangan atas bantuan memudah cara pergerakan rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia di rantau tersebut digesa untuk mendaftar dan mengemas kini butiran mereka melalui sistem e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my atau melalui perwakilan diplomatik Malaysia yang terdekat.
Bilik operasi kementerian di Putrajaya kekal aktif secara 24 jam dan boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.
Situasi di Timur Tengah tegang sejak 28 Feb apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran, diikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial