KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Malaysia kini perlu melakukan lonjakan dengan aspirasi baharu dan kejelasan tujuan untuk mengekalkan keyakinan, mengukuhkan penyertaan serta memanfaatkan sepenuhnya potensi pasaran modal negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata inisiatif itu penting memandangkan ekonomi global kini semakin kompleks dan jangkaan pelabur terus berubah dengan pantas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi mengatasi perkara itu, Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 yang dilancarkan hari ini menetapkan empat perkara yang perlu dilaksanakann iaitu memperkukuh pengumpulan modal, memberi ganjaran kepada dinamisme perniagaan, menerapkan kemampanan sebagai pemacu nilai, serta memperluas penyertaan yang lebih bermakna di seluruh ekonomi.
“Pasaran modal kita mesti memacu peralihan ini dengan menyediakan laluan yang lebih bermanfaat kepada syarikat untuk mengumpul dana secara cekap, berkembang dengan yakin dan berinovasi dengan tujuan lebih jelas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dan melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi.
CMP 2026-2030 merupakan pelan tindakan strategik untuk menjadikan pasaran modal Malaysia sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dan kemakmuran ekonomi.
Berlandaskan visi jangka masa panjang selama 20 tahun, CMP menyokong transformasi ekonomi dengan mempercepat pertumbuhan dalam sektor yang sedang pesat berkembang, di samping memperkukuh peranan pasaran dalam membina ekonomi yang lebih maju, inklusif, mampan dan bersepadu di peringkat serantau.
Anwar berkata kerajaan telah menetapkan hala tuju yang jelas ke arah daya tahan iklim dan masa depan rendah karbon melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dan CMP melengkapkan usaha itu dengan menggerakkan modal secara berskala serta menyalurkan pelaburan kepada sektor yang akan memacu pertumbuhan mampan.
Beliau berkata lebih penting, Malaysia perlu memantapkan perancangan syarikat yang bersedia untuk memasuki pasaran awam.
“Usaha untuk memperkukuh penyertaan bumiputera, termasuk menyokong syarikat yang mempunyai kapasiti dan aspirasi untuk menjadi syarikat senaraian awam, adalah penting bagi membina ekonomi yang lebih inklusif dan berasaskan penyertaan yang lebih luas,” kata Anwar.
Anwar berkata syarikat Malaysia mesti meningkatkan skala, mengukuhkan kehadiran serantau masing-masing dan bersaing dengan kalangan yang terbaik di dunia memandangkan kemajuan teknologi kini membentuk semula industri dalam tempoh yang singkat.
Beliau berkata fasa pertumbuhan Malaysia seterusnya mesti berteraskan cita-cita serantau seperti yang ditetapkan dalam Ekonomi MADANI.
“ASEAN adalah antara pasaran yang paling pesat berkembang di dunia, namun kejayaannya memerlukan skala, modal dan bakat.
“Mengikut CMP, perantara pasaran modal akan melakukan peranan penting dalam membuka laluan berasaskan pasaran bagi syarikat yang mempunyai status Entiti Perniagaan ASEAN Malaysia (MyABE) dan syarikat milik bumiputera untuk berkembang melangkaui sempadan negara,” kata beliau.
Anwar berkata kerajaan juga menggalakkan penerokaan lebih mendalam terhadap pembiayaan berasaskan wakaf, penyelesaian kewangan sosial Islam yang lain, serta model pembiayaan gabungan yang mampu memberikan hasil boleh diukur dan memastikan modal sampai kepada pihak yang paling memerlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial