WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LONJAKAN HARGA MINYAK MINYAK CETUS RISIKO FISKAL, INFLASI BAGI ASIA - OCBC

09/03/2026 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Susulan lonjakan harga minyak global hari ini, kerajaan di Asia menghadapi peningkatan risiko fiskal dan inflasi memandangkan rantau ini masih bergantung kepada import tenaga secara struktur, menurut OCBC.

Bank itu menjelaskan rantau Asia Pasifik terus menjadi pengimport bersih minyak mentah, gas asli dan arang batu sekali gus menyebabkan ekonomi serantau terdedah kepada kejutan tenaga daripada luaran.

Data daripada Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menunjukkan Asia Pasifik kekal sebagai pengimport bersih komoditi tenaga sepanjang dekad hingga 2023.

Ini menunjukkan ekonomi di rantau ini masih menggunakan minyak, arang batu dan gas asli sebagai sumber tenaga utama.

“Harga minyak yang lebih tinggi turut memberi kesan kepada komoditi lain khususnya gas asli, akan memburukkan lagi risiko kejutan harga tenaga,” tambahnya dalam nota penyelidikan Pasaran Global hari ini.

OCBC turut menyatakan Asia masih bergantung keperluan import tenaga daripada Timur Tengah.

Menurut OCBC, Singapura, Thailand, Korea Selatan, India dan Vietnam mengimport bahagian petrol dan gas yang agak besar dari Timur Tengah.

Indonesia pula, walaupun diklasifikasikan sebagai pengeksport tenaga bersih memandangkan statusnya sebagai pengeksport arang batu bersih, masih mengimport 11 peratus daripada jumlah import petrol dan gasnya dari rantau itu.

OCBC menjelaskan berdasarkan senario asas, harga minyak mentah Brent dijangka susut di bawah US$70 setong menjelang pertengahan 2026.

Bagaimanapun, dalam senario ‘sederhana serius’ yang menyaksikan penghantaran bekalan tenaga disambung semula termasuk sebahagiannya dengan iringan pasukan tentera, boleh mendorong harga Brent kekal sekitar US$100 setong hingga pertengahan tahun sebelum susut apabila bekalan global kembali stabil.

Dalam senario yang lebih meruncing yang melibatkan gangguan berpanjangan, harga Brent boleh melonjak kepada sekitar US$140 setong dan kekal tinggi hingga pertengahan tahun, katanya.

Harga tenaga yang kekal tinggi berkemungkinan melemahkan imbangan dagangan di seluruh ekonomi Asia, dengan lebihan dagangan mengecil dan defisit meningkat.

OOBC memaklumkan tekanan inflasi turut akan meningkat, khususnya di negara yang tidak menyediakan subsidi bahan api runcit.

Filipina dan India boleh mengalami defisit dagangan yang ketara selain inflasi harga pengguna keseluruhan yang lebih tinggi berbanding unjuran asas.

Bagi Indonesia dan Malaysia pula, kedua-dua negara dijangka mengalami defisit fiskal yang lebih besar memandangkan kerajaan menanggung kos subsidi yang lebih tinggi.

Sementara itu, kesan fiskal terhadap China dan Filipina dijangka lebih tidak ketara, manakala Thailand dan Vietnam mempunyai dana minyak rentas subsidi yang boleh membantu meredakan kesan fiskal dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan