WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS BONGKAR RANGKAIAN SEGI TIGA EMAS, RAMPAS DADAH LEBIH RM180 JUTA

09/03/2026 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah, termasuk melumpuhkan satu rangkaian antarabangsa dari kawasan Segi Tiga Emas dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM180.2 juta dalam operasi bersepadu di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi berterusan pada Ramadan itu turut membuahkan hasil apabila polis berjaya mengesan cubaan satu sindiket antarabangsa yang membina makmal haram berskala besar di Selangor.

Beliau berkata kejayaan terbesar dicatatkan menerusi Ops Chrysogaster pada 2 Mac lepas yang menyaksikan penahanan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 44 tahun bersama rampasan lebih 3.4 tan dadah disyaki jenis methamphetamine.

“Dadah bernilai RM170 juta itu ditemukan selepas dua siri serbuan di sekitar Taman Gembira dan Taman Overseas Union Garden di ibu negara,” katanya pada sidang media di Pulapol di sini hari ini.

Hussein berkata bekalan dadah itu dipercayai dibawa masuk dari kawasan Segi Tiga Emas untuk pasaran Lembah Klang dan selatan tanah air menggunakan lori sewa, selain untuk diseludup ke pasaran luar negara seperti Indonesia dan Filipina.

Hussein berkata harga pasaran dadah itu di Malaysia sekitar RM50,000 sekilogram, namun nilainya boleh melonjak sehingga RM200,000 sekilogram jika berjaya dibawa masuk ke pasaran luar negara. 

“Kedua-dua suspek direman 14 hari sehingga 16 Mac bagi membantu siasatan. Sindiket itu dipercayai aktif sejak Disember 2025 manakala dadah bernilai RM170 juta yang dirampas itu dianggarkan mampu merosakkan 17 juta pengguna sekiranya terlepas ke dalam pasaran,” katanya.

Hussein berkata dalam serbuan kedua pada hari sama, polis menyerbu sebuah gudang di Taman Perindustrian Subang, Selangor dan menemukan ratusan tong serta botol berisi bahan kimia cecair dan serbuk, selain lima unit mesin memproses dadah.

“Kami tidak tolak kemungkinan mereka ini adalah ahli sindiket sama yang kami ambil tindakan dan operasi agresif PDRM pada bulan lepas di Perak dan Pulau Pinang yang menyebabkan mereka lari dan tinggalkan gudang berkenaan.

“Premis itu disewa sejak 2024 menggunakan identiti palsu dengan kadar sewa RM6,500 sebulan dan sekiranya dibiarkan, makmal itu mempunyai kapasiti tinggi untuk memproses syabu, sintetik ganja dan etomidate secara berskala besar,” katanya.

Dalam serbuan ketiga pada 5 Mac, Hussein berkata polis berjaya mematahkan cubaan satu sindiket mengedar 124.7 kilogram dadah jenis bunga ganja bernilai RM10.2 juta menggunakan lori untuk mengambil bekalan dari utara Semenanjung dalam serbuan di Taman Sri Rampai di sini.

“Tiga lelaki berumur 27 hingga 38 tahun dengan seorang daripadanya berperanan sebagai koordinator manakala dua lagi sebagai ‘runner’ ditahan di sekitar Kuala Lumpur. Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan mereka direman tujuh hari sehingga 11 Mac.

“Seorang daripada suspek mempunyai satu rekod kes dadah manakala seorang lagi mempunyai tiga rekod kes jenayah. Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan rampasan sebuah kereta Ford Ranger bernilai RM85,000.

Ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan