KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 berbeza daripada pelan terdahulu dari segi skop dan penilaian semula berikutan perubahan pesat yang didorong oleh kepantasan pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) serta jangkaan pelabur.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pelan induk itu akan menangani pelbagai keperluan pihak berkepentingan dan negara sekali gus membolehkan penyesuaian kepada keadaan yang pantas berubah.
“Menerusi pelan kami, terdapat banyak bidang pasaran modal yang tidak tradisional. Bagaimanapun, kami berpendapat ia perlu cukup luas untuk mengisi keperluan pihak berkepentingan dan negara secara keseluruhan yang berubah dengan cepat,” katanya ketika pelancaran CMP edisi keempat hari ini.
Mohammad Faiz berkata kecemerlangan dalam pengawalseliaan dan tadbir urus akan turut diberi penekanan bagi mempercepat masa ke pasaran dan mengurangkan kerumitan bagi pemain pasaran dalam menyelesaikan sesuatu.
Beliau berkata pelabur perlu dilayan secara sama rata apabila berlaku pertikaian dan diberi pampasan tanpa mengira produk pelaburan yang mereka pilih.
“Kita mesti mampu menjangka apakah yang pelabur ingin lihat dalam tempoh 20 tahun akan datang berikutan jangkaan yang sentiasa berubah. Perantara pasaran juga perlu mula meletakkan asas hari ini bagi membentuk pasaran modal yang bersedia untuk menghadapi masa depan,” katanya.
Beliau berkata pelan induk itu menjadi teras kepada Pasaran Modal Islam (ICM), dengan tanggungjawab yang diamanahkan untuk memenuhi jangkaan umat Islam di Malaysia.
“Kami berharap untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan pihak berkepentingan lain untuk memperkukuh tadbir urus syariah serta meneroka produk dan inovasi yang mencerminkan konsep Halal Toyyib, di samping lebih menepati jangkaan komersial dan prinsip Maqasid al-Shariah,” kata Mohammad Faiz.
Pasaran modal Malaysia berjumlah RM4.3 trilion setakat Disember 2025, dan SC menyasarkan untuk mengembangkan pasaran modal sebanyak RM1.5 trilion kepada RM2 trilion dalam tempoh lima tahun, meningkatkan saiz kepada RM5.8 trilion-RM6.3 trilion di bawah CMP 2026-2030.
Sementara itu, SC dalam kenyataan hari ini berkata CMP berlandaskan empat tema luas tetapi saling berkaitan iaitu kerancakan, keterangkuman, kemampanan dan peluang serantau.
Bagi kerancakan, CMP bertujuan untuk meningkatkan dengan ketara penilaian pasaran Malaysia, aktiviti dagangan dan akses untuk syarikat yang ingin mendapatkan modal.
Dari segi keterangkuman pula, pelan induk ini memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat secara saksama daripada pertumbuhan negara dan meningkatkan lantai dengan meluaskan akses kepada produk dan perkhidmatan pasaran modal untuk penciptaan kekayaan jangka panjang.
Usaha ini akan disokong dengan meningkatkan literasi kewangan, dengan memanfaatkan teknologi digital untuk keberkesanan.
Sementara itu, bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk serantau yang dipercayai, CMP akan menyokong pengembangan serantau juara tempatan, memudahkan penerbitan produk khusus dan kompetitif yang berasaskan aset asas asing, menarik lebih banyak penyenaraian dan penerbitan bon/sukuk oleh syarikat asing.
CMP merupakan usaha seluruh negara yang selaras dengan keutamaan pertumbuhan negara termasuk rangka kerja Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia ke-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial