WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPR DIGESA PATUHI PRINSIP PERLEMBAGAAN DALAM PERSEMPADANAN SEMULA DI SARAWAK

10/03/2026 12:18 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mematuhi prinsip perlembagaan dengan tegas dan memberi masa yang mencukupi untuk penelitian awam dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.

Ahli Parlimen DAP itu berkata meskipun secara umumnya beliau menyokong cadangan penambahan jumlah kerusi, proses itu perlu mematuhi peruntukan berkaitan pembahagian kerusi, kepentingan kawasan dan hubungan setempat bagi memastikan kepentingan semua rakyat Sarawak terus terpelihara.

“Perlembagaan Persekutuan, di bawah Subseksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas, mewajibkan bahawa bilangan pengundi di setiap kawasan pilihan raya hendaklah hampir sama, dengan pengecualian hanya bagi kawasan luar bandar yang berdepan kekangan geografi.

“Secara sejarah, ini bermakna nisbah maksimum kepada minimum ialah 2:1 (iaitu kawasan luar bandar boleh mempunyai serendah separuh bilangan pengundi berbanding kawasan bandar). Namun, apa yang kita saksikan hari ini ialah ketidakseimbangan pembahagian pengundi yang keterlaluan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau menggesa SPR supaya bertindak secara bebas, menolak sebarang tekanan daripada mana-mana parti politik dan mematuhi tuntutan Perlembagaan termasuk mengurangkan jurang nisbah pengundi, mengelakkan manipulasi sempadan kawasan pilihan raya serta memberi masa yang mencukupi bagi penyertaan awam, bukannya tempoh singkat selama empat bulan.

Yii mendakwa perbezaan semasa adalah keterlaluan, merujuk kepada kerusi Parlimen Miri yang mempunyai 149,441 pengundi dan Igan (29,132) iaitu nisbah kira-kira 5:1 manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri, Senadin memiliki 73,430 pengundi berbanding Gedong (10,380) menjadikan nisbahnya 7:1.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Bandar Kuching, yang mempunyai bilangan pengundi hampir sama dengan Petra Jaya, tidak dijangka memperoleh kerusi tambahan sedangkan Petra Jaya berpotensi mendapat dua kerusi.

Walaupun Perlembagaan membenarkan “kepentingan kawasan” bagi kawasan pilihan raya di luar bandar yang besar dan sukar diakses seperti Hulu Rajang dan Baram, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memberikan perwakilan berlebihan di kawasan lebih kecil.

“Peruntukan bagi 'kepentingan kawasan' di luar bandar bergantung kepada dua faktor, iaitu keluasan geografi dan kesukaran bagi mendekati pengundi.

“Justeru, pada pandangan saya, kawasan seperti P216 Hulu Rajang (saiz setara Pahang), P220 Baram (lebih besar daripada Perak), dan N64 Baleh, N65 Belaga, N66 Murum (lebih besar daripada Kedah) mempunyai alasan yang sah untuk mendapat perwakilan berlebihan kerana kawasan ini layak menerimanya,” kata beliau.

Yii juga berkata meskipun P207 Igan hanya seluas satu pertiga daripada Negeri Sembilan, ia memiliki pengundi yang lebih sedikit berbanding Hulu Rajang, Baram, Selangau, Bintulu dan Kapit - kesemuanya lebih besar dari segi keluasan kawasan dan jumlah pengundi.

Bagi N26 Gedong, beliau berkata ia adalah contoh jelas bagi perwakilan berlebihan kerana hampir separuh daripada 82 kawasan di Sarawak mempunyai kawasan lebih besar dan bilangan pengundi melebihi Gedong.

Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kayat pula menggesa SPR agar membetulkan ketidakseimbangan pengagihan pengundi dengan menetapkan prinsip jelas iaitu bilangan di kawasan Parlimen terbesar tidak boleh melebihi dua kali ganda berbanding kawasan terkecil.

Wakil rakyat daripada Amanah itu berkata perbezaan jumlah pengundi antara kawasan Parlimen pada masa ini dilihat sangat ketara.

Beliau memberikan contoh Parlimen Bangi yang mempunyai 246,795 pengundi pada Pilihan Raya Umum 2022 yang menyaksikan Syahredzan Johan daripada DAP menang dengan majoriti hampir 70,000 undi manakala Kota Raja pula dimenangi oleh Datuk Seri Mohamad Sabu dengan majoriti 73,998 undi.

“Di seluruh Lembah Klang, terdapat banyak kawasan yang sangat padat dengan pengundi seperti Titiwangsa, Shah Alam, Damansara, Petaling Jaya, Wangsa Maju dan Ampang... kawasan-kawasan ini lazimnya dimenangi oleh Pakatan Harapan dan kadangkala oleh UMNO/Barisan Nasional.

“Sebaliknya, terdapat kerusi yang jauh lebih kecil seperti Sik di Kedah dan Jeli di Kelantan di mana calon PAS atau Perikatan Nasional bertanding dalam kawasan yang mempunyai kurang daripada 50,000 pengundi secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu menunjukkan wujudnya pembahagian undi yang tidak seimbang dan perlu ditangani oleh SPR kerana adalah tidak adil untuk "menghukum" pengundi bandar dengan menjadikan undi mereka kurang bernilai berbanding pengundi di kawasan yang jauh lebih kecil.

“Hakikatnya, ketidakseimbangan ini sudah lama terbina dalam sistem pilihan raya kita... kesilapan masa lalu perlu diperbetul dalam proses persempadanan yang sedang dijalankan tahun ini.

“Pembetulan ini perlu dilakukan segera supaya perubahan tersebut boleh berkuat kuasa sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan