
Sejak pertengahan tahun lalu, keheningan suasana kawasan rekreasi Kayuh D’Tonggang di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, Ulu Kinta di sini, kerap “diganggu” deruman enjin yang kuat, terutamanya pada hujung minggu.
Namun, perkara itu bukan sesuatu yang menggusarkan kerana kebingitan bunyi enjin tersebut membawa rezeki buat Orang Asli yang mengusahakan tapak rekreasi berkenaan.
Meneroka langkah berani, mereka sepakat menawarkan aktiviti menunggang kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV) sebagai tarikan terbaharu kawasan rekreasi, yang sebelum ini hanya menyediakan chalet dan beberapa aktiviti melibatkan alam sekitar buat pengunjung, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan mereka.
“Setakat ini sambutan terhadap ATV amat menggalakkan,” kata Tok Batin Che Wan Alang kepada Bernama.
Kawasan rekreasi Kayuh D’Tonggang dibuka kepada orang ramai pada 23 Ogos 2023, dengan tujuan menjana pendapatan buat penduduk kampung itu yang terdiri daripada suku kaum Temiar. Didiami oleh 137 buah keluarga dengan keseluruhan 453 penduduk, kampung ini hanya terletak kira-kira enam kilometer dari Tanjung Rambutan.
Kesemua mereka yang beragama Islam, sebelum ini bergantung sepenuhnya pada hasil hutan sebagai sumber pendapatan.
ATV@KAYUH D' TONGGANG
Berkongsi lanjut, Che Wan, 41, berkata aktiviti menunggang ATV itu direalisasikan menerusi geran berjumlah RM100,000 yang disalurkan di bawah program SejaTi MADANI pada Mei 2025.
“Kami beli lapan unit berkapasiti 125 cc dan dua unit 200 cc serta gerobak penarik barang, jaket keselamatan, topi keledar serta pembinaan garaj,” jelasnya, menambah idea untuk memperkenalkan ATV di kawasan rekreasi tersebut datang daripada penduduk sendiri.
pic-2
Aktiviti yang ditawarkan bermula Mei 2025 itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung meskipun melibatkan laluan mencabar dari kawasan rekreasi ke pinggir kampung.
"Trek kami agak mencabar kerana perlu melalui kawasan bukit, dan memang ada pengunjung yang takut sebab (kawasan itu) tinggi, tetapi rata-rata yang sudah naik ATV meluahkan rasa puas hati kerana dapat meneroka kampung kami dengan cara sedemikian.
"Bermula dari Kayuh D'Tonggang, mereka akan tunggang ATV ke kampung yang mengambil masa dalam 20 minit, pusing kawasan kampung dan selepas itu berpatah balik. Pergi balik, lebih kurang satu kilometer,” jelasnya.
Che Wan berkata mereka juga mengenakan kadar sewa berpatutan, iaitu hanya RM30 untuk ATV 125 cc dan RM40 bagi yang berkuasa 200 cc.
BELUM DIKENALI
Bercerita lanjut, lelaki itu bagaimanapun mengakui Kayuh D’Tonggang masih belum begitu dikenali dalam kalangan masyarakat.
Dibina sebagai destinasi ekopelancongan, kawasan rekreasi itu menawarkan aktiviti seperti mandi sungai, denai pejalan kaki, demonstrasi tarian sewang, menjerat dan menyumpit haiwan buruan serta menganyam.
pic-3
“Kami juga ada sediakan menara tinjau. Sesiapa yang berminat untuk melihat burung, mereka boleh duduk di menara tinjau itu sebab di sini ada 25 spesies burung yang cantik-cantik. Kita sediakan binokular dan juga teropong.
"Berkenaan aktiviti menyumpit pula, mula-mula kita akan tunjuk dulu (cara menyumpit) , selepas itu kita akan bagi mereka rasa (alami). Setiap seorang akan menyumpit sebanyak lima batang damak," katanya.
Bagi yang ingin bermalam pula, mereka boleh menyewa chalet atau berkhemah bersama-sama dengan keluarga atau rakan.
Che Wan berkata Kayuh D' Tonggang dibangunkan pada 2023 menerusi dana daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Global Environment Centre (GEC) dan Yayasan Hasanah, selain mendapat geran daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Kerajaan Negeri Perak.
Menurutnya, pada masa ini kawasan itu diuruskan oleh 19 penduduk kampung termasuk belia yang bekerja secara sambilan, khususnya pada hujung minggu.
“Kami buka setiap hari, namun biasanya hari minggu yang ramai pengunjung,” ujarnya lagi sambil berterima kasih kepada kerajaan MADANI yang menyediakan Geran SejaTi MADANI.
"Harapan saya sebagai Tok Batin supaya (Geran SejaTi MADANI) dapat meningkatkan lagi sosioekonomi di kampung kami agar dapat membantu menjana pendapatan buat penduduk kampung dan belia-belia di sini untuk bekerja di tempat sendiri,” tambahnya.
SejaTi MADANI merupakan inisiatif baharu Kerajaan MADANI yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan mereka menerusi pemberian dana hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
Che Wan berkata kerjasama erat dengan JAKOA turut memastikan infrastruktur seperti bekalan elektrik, paip air dari empangan kecil serta akses jalan tar yang sempurna disediakan bagi menjamin keselesaan pengunjung yang datang ke kampung itu.
PERANAN JAKOA
Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Kinta dan Kampar Mohd Farizal Mohd Zakhri berkata JAKOA meningkatkan bantuan kepada masyarakat di kampung itu selepas melihat mereka mengusahakan ekopelancongan sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Apabila mereka bina chalet, JAKOA salurkan bekalan elektrik ke chalet itu bagi kemudahan pengunjung,” katanya, menambah mereka juga menyediakan bekalan air dan kemudahan tandas.
pic-4
"Selain itu, kami juga adakan kelas dan bengkel berkaitan pengurusan kewangan bagi membantu mereka memahami dan melaksanakan kerja-kerja pentadbiran melibatkan kewangan, supaya tidak berlaku ketirisan dalam perbelanjaan," katanya, menambah JAKOA turut membantu komuniti itu dalam usaha memohon geran SejaTi MADANI bagi membiayai pembelian ATV.
Beliau berkata setiap bulan, pihaknya akan meminta pendapatan yang dijana daripada aktiviti ATV bagi melihat kemajuan projek tersebut.
“Kita dapat tengok ada permintaan dan meningkat setiap bulan,” katanya.
GEC BANTU BANGUNKAN KAWASAN ORANG ASLI
Sementara itu, Pegawai Program Kanan GEC Norazrin Mamat berkata GEC sebagai NGO alam sekitar berdaftar di Malaysia, merupakan pelaksana projek Kayuh D' Tonggang dan mereka membangunkan kawasan rekreasi tersebut dengan sokongan pembiaya, iaitu Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan.
"Apabila kita (GEC) masuk ke kawasan ini (pada 2021), kita dapati ada potensi yang boleh kita bangunkan untuk komuniti yang ada di kawasan Kayuh D' Tonggang, dengan pendekatan ‘win-win situation’, iaitu komuniti juga memantau sungai.
pic-5
"Jadi, apabila kata kita nak pantau sungai, kita perlu berikan sesuatu untuk komuniti dan dari situlah tercetusnya idea untuk kita bangunkan ekopelancongan bagi komuniti di samping mereka menjaga kawasan ini. Mereka jaga dari segi sungai, biodiversiti dan juga alam sekitar yang ada di Kayuh D' Tonggang," katanya.
Menurut Norazrin, rata-rata pengunjung yang pernah tiba di kampung itu memberi maklum balas positif dengan ada yang mencadangkan supaya promosi diperluas selain menambah aktiviti ekstrem lain seperti flying fox.
“Kawasan ini mudah diakses oleh orang awam kerana hanya enam km dari pekan Tanjung Rambutan,” katanya.
PERLUAS PROMOSI
Seorang pengunjung Amira Hanis Mohd Asri, 38, yang pertama kali datang ke Kayuh D' Tonggang, ketika ditemui, berkata dia pada mulanya berasa skeptikal untuk datang kerana laluan naik ke kawasan tersebut sempit dan mencabar.
Namun katanya kesukaran yang ditempuh itu terbayar apabila menyaksikan keindahan kawasan rekreasi berkenaan.
"Tempatnya sangat cantik, sungai pun tak dalam, cetek sahaja, sesuai untuk budak-budak (bermandi-manda). Sesiapa yang ada famili memang digalakkan untuk datang ke sini.
"Kawasannya pun sangat bersih, kami memang suka. Sesiapa yang merancang nak buat hari keluarga, nak buat santai-santai dengan famili, datang mandi sungai bawa anak-anak...memang sangat digalakkan datang ke sini," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Amira Hanis turut berpendapat promosi bagi Kayuh D' Tonggang perlu diperluaskan lagi, kerana dia sendiri sebagai anak jati Ipoh, tidak tahu akan kewujudan kawasan rekreasi itu sebelum ini.
Sementara itu, adik iparnya Khairul Anisah Khairul Anuar, 32, yang datang bersama-samanya, berkata dia amat tertarik dengan aktiviti ATV di Kayuh D' Tonggang dan berhasrat untuk menunggang kenderaan tersebut pada masa akan datang.
"Insya-Allah, akan datang memang nak cuba aktiviti itu. Memang nak ‘try’ walaupun tiada pengalaman," katanya yang juga anak tempatan.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial