WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANK MUAMALAT PERKASA 2,000 USAHAWAN MENERUSI BAZAR RAMADAN SKALA NASIONAL, PEMBAYARAN DIGITAL SELAMAT

10/03/2026 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan bazar Ramadan bagi tahun kedua di sembilan lokasi strategik sekitar ibu negara, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan usahawan tempatan dan menyokong agenda ekonomi inklusif Malaysia MADANI.

Inisiatif itu turut diperluas ke 10 negeri lain serta memanfaatkan lebih 2,000 usahawan seluruh negara melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih, menjadikannya antara penganjuran bazar Ramadan paling meluas pernah dilaksanakan oleh institusi kewangan Islam di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata penganjuran berskala nasional itu mencerminkan peranan Bank Muamalat sebagai institusi kewangan Islam penuh yang bukan sahaja menyokong pembiayaan malah membina ekosistem ekonomi rakyat secara menyeluruh.

“Sebagai institusi kewangan Islam, tanggungjawab kami melangkaui penyediaan perkhidmatan kewangan. Kami berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif, beretika dan berteraskan nilai ihsan.

“Bazar Ramadan bukan sekadar ruang niaga tetapi platform penting untuk memperkasakan usahawan kecil dan mikro agar mereka dapat menjana pendapatan secara bermaruah. Melalui kerjasama DBKL dan PBT di beberapa negeri, Bank Muamalat komited menyokong pertumbuhan ekonomi ummah secara mampan, selari dengan prinsip Maqasid Syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Bazar Ramadan Bank Muamalat bukan sekadar ruang niaga bermusim tetapi platform pemerkasaan usahawan kecil dan mikro agar mereka dapat menjana pendapatan secara bermaruah dan mampan.

Dalam usaha memperkukuh pengalaman niaga lebih moden dan selamat, Bank Muamalat menyediakan kemudahan pembayaran digital melalui QR Soundbox kepada peniaga bazar terlibat, membolehkan transaksi tanpa tunai yang pantas, selamat dan lancar.

Inisiatif itu selari dengan agenda pendigitalan pembayaran negara oleh Bank Negara Malaysia sekali gus menggalakkan penggunaan e-pembayaran yang telus dan inklusif dalam kalangan peniaga kecil.

“Selain kemudahan pembayaran digital, Bank Muamalat turut menyediakan sokongan berbentuk kemudahan asas termasuk kanopi, apron dan topi kepada pemegang lesen bazar terlibat sebagai usaha meringankan kos operasi dan meningkatkan profesionalisme peniaga.

“Penganjuran Bazar Ramadan Bank Muamalat mencerminkan kesepaduan kukuh antara sektor awam dan swasta dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif, selari dengan aspirasi kepimpinan negara untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut lokasi Bazar Ramadan Bank Muamalat layari www.muamalat.com.my. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan