WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ATM TERIMA LEBIH RM2 JUTA SUMBANGAN, SEDIA 16,000 BEG HARI RAYA KEPADA ANGGOTA

10/03/2026 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sumbangan lebih RM2 juta daripada 50 penyumbang individu dan syarikat untuk penyediaan sebanyak 16,000 beg bagi diagihkan kepada anggota yang bertugas di dalam dan luar negara sempena Aidilfitri.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sumbangan itu merangkumi RM1.8 juta dalam bentuk kewangan dan RM254,000 dalam bentuk barangan.

Beliau berkata sumbangan itu meneruskan tradisi pemberian beg mengandungi kuih raya, juadah tradisional serta kelengkapan harian kepada anggota ATM.

“Wira-wira negara kita sentiasa gigih memberikan khidmat bakti dengan penuh setia dan ikhlas dan atas sebab itu, sangat penting untuk kita menzahirkan penghargaan, sokongan dan ingatan kepada semua anggota yang bertugas pada hari lebaran nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada ATM di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari. Turut hadir Panglima ATM Jen Datuk Malek Razak Sulaiman.

Mohamed Khaled berkata Inisiatif itu diharap dapat mengubati kerinduan anggota yang terpaksa berjauhan daripada keluarga demi menggalas amanah termasuk menjaga sempadan negara dan menyertai misi keamanan antarabangsa.

Sementara itu, ATM dalam kenyataan memaklumkan barangan sumbangan dikumpulkan bermula Februari lepas dan dibungkus secara berfasa melibatkan tenaga kerja daripada warga ATM. 

Menurut kenyataan itu, sebanyak 400 beg terakhir berjaya disiapkan oleh ahli-ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) pada 27 Feb sebagai simbol kasih dan sokongan kepada anggota yang berjauhan daripada keluarga ketika Syawal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan