WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBAYARAN AWAL STR FASA 2 RINGANKAN BEBAN PERSIAPAN AIDILFITRI

10/03/2026 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Penyaluran fasa kedua Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dikreditkan bermula hari ini memberi kegembiraan dan kelegaan kepada penerima, untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Langkah kerajaan mempercepat pembayaran itu mencerminkan keprihatinan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, selain mengukuhkan aliran tunai golongan sasar dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Bagi ibu tunggal Zahuri Mohd Zain, 51, bantuan itu sangat dinantikan kerana dapat meringankan beban kewangan untuk membeli barangan dapur dan kelengkapan hari raya anak-anaknya.

"Saya gunakan STR ini untuk perkara paling utama iaitu bahan memasak rendang, kuah kacang dan nasi impit. Sebagai ibu tunggal, ia amat membantu lebih-lebih lagi ia juga dapat digunakan untuk membeli baju raya anak-anak yang masih bersekolah," katanya kepada Bernama.

Di SELANGOR, perunding syarikat swasta Siti Aisah Ahmat, 38, berkata bayaran awal itu memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mengurus perbelanjaan tambahan musim perayaan.

Nada sama dikongsi kerani Rosmalawati Adura Othman, 48, yang menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membantu mengurangkan tekanan kewangan rakyat menjelang Syawal.

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, suri rumah Fadzilah Aziz, 43, berkata bantuan RM300 bagi fasa kedua itu akan digunakan untuk membeli kasut dan pakaian baharu empat anaknya yang berusia antara tiga hingga 15 tahun.

Warga emas Masita Baba, 67, pula berkata meskipun menerima RM150 bagi fasa ini daripada RM600 keseluruhan bantuan, jumlah itu memadai untuk membantunya menyediakan keperluan dapur.

Di PERAK, seorang lagi suri rumah dari Pasir Salak, Norain Usop, 36, berkata bantuan yang diawalkan itu tepat pada masanya memandangkan dia dan suami bekerja sendiri serta tidak mempunyai pendapatan tetap 

"Harga barangan biasanya meningkat menjelang perayaan, jadi bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan kami,” katanya yang menerima bantuan sebanyak RM300 bagi fasa ini.

Di PERLIS, suri rumah Aishah Ismail, 42, yang menetap di Arau menyifatkan penyaluran STR Fasa 2 2026 itu sebagai 'talian hayat' buat keluarganya bagi membeli keperluan harian dan kelengkapan untuk anak-anak menjelang Aidilfitri.

Pandangan itu turut disokong Rohalimatun Bakar, 38, dari Simpang Empat yang menyatakan walaupun jumlah itu mungkin kecil bagi sesetengah pihak, namun ia amat besar maknanya bagi menampung keperluan asas harian keluarga.

Di KELANTAN, warga emas Zaleha Abdullah, 69, berkata bantuan sebanyak RM150 yang diterimanya amat bermakna kerana dapat digunakan sebagai duit raya kepada empat orang cucunya selain membeli bahan keperluan bagi menyediakan juadah Hari Raya.

Di SABAH, tinjauan di sebuah pasar raya di Tawau mendapati rata-rata penerima mula menggunakan bantuan berkenaan bagi menyediakan kelengkapan menyambut lebaran.

Bagi suri rumah Norlela Amit, 38, dari Kampung Tanjung Batu, langkah kerajaan mengawalkan bayaran STR membuktikan konsistensi serta keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang memerlukan.

Penyaluran Fasa 2 yang diawalkan hari ini menyaksikan peningkatan peruntukan kerajaan kepada RM1.3 bilion, berbanding RM1.1 bilion pada Fasa 1 yang disalurkan pada Januari lepas.

Pembayaran ini sekali gus memanfaatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan, dengan jumlah penerima bagi fasa kali ini turut meningkat kepada 5.2 juta orang berbanding 5 juta penerima pada fasa sebelumnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan