KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Seorang pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pihaknya membuat Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) untuk dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kemasukan wang “puluhan juta” ke dalam akaun bank milik Bersatu.
Pengurus Kewangan CIMB Islamic Bank Cawangan Menara KL Sentral, Lee Hui Nee, 58, berkata kemasukan wang berjumlah RM19.3 juta ke dalam akaun parti itu adalah antara 24 Ogos 2021 hingga 11 Nov 2022 menerusi 28 transaksi.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4 juta didepositkan menerusi cek oleh ahli perniagaan Datuk Azman Yusoff manakala RM1 juta oleh syarikat Mamfor Sdn Bhd.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi pendakwaan kedua itu berkata terdapat wang puluhan juta masuk ke akaun Bersatu dan pihak bank tidak mempunyai kuasa untuk menghalang kemasukan wang ke dalam akaun tersebut.
Beliau berkata demikian pada hari kedua perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram.
Lee juga bersetuju dengan Wan Shaharuddin bahawa pihaknya ada membuat STR dalam kes berkenaan, namun tidak mengetahui apa yang berlaku selepas itu.
Saksi itu berkata STR akan dikeluarkan setiap kali pihak bank mengesan sesuatu 'red flag' pada akaun tersebut dan kewajipan bank adalah untuk menyerahkan laporan tersebut kepada BNM.
Kepada soalan TPR Mahadi Abdul Jumaat, bagaimana 'red flag' berlaku, Lee berkata "Akaun yang ada transaksi jumlah yang banyak dan tidak konsisten dengan akaun profil, akaun sistem akan ada 'red flag', bergantung kepada 'red flag' dan cawangan akan semak profil akaun tersebut serta kemukakan STR”.
Ditanya Mahadi, mengapa saksi itu merasakan akaun tersebut tidak konsisten, Lee menjawab berlaku kekerapan kemasukan wang dengan jumlah yang sangat tinggi.
Selain itu, saksi berkenaan bersetuju dengan Mahadi bahawa dari 2021 hingga 2022 tiada mana-mana empat 'authorized' akaun Bersatu memaklumkan kepada pihak bank untuk menghentikan sebarang kemasukan wang ke akaun tersebut.
Terdahulu, semasa membacakan pernyataan saksinya, Lee berkata selain Muhyiddin, pemohon bagi pembukaan akaun itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Kamarulzaman Habibur Rahman dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
"Pada 1 Dis 2020, pemegang akaun telah bertukar nama kepada Muhyiddin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri," katanya, bahawa akaun tersebut masih aktif.
Disoal peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili Muhyiddin, adakah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada memintanya menunjukkan laporan STR berhubung akaun Bersatu semasa disoal siasat, Lee menjawab tidak.
Saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa setakat ini laporan STR belum dikemukakan di mahkamah.
Kepada cadangan Amer Hamzah bahawa STR dikeluarkan ia tidak bermaksud menyalahi undang-undang, Lee berkata keputusan muktamad adalah daripada Bank Negara.
Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti Bersatu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial