SIBU, 10 Mac (Bernama) -- Pembayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua yang diumumkan kerajaan memberi kelegaan kepada penerima, khususnya golongan berpendapatan rendah untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Kamarudin Abdul Karim, 38, yang bekerja sendiri membaiki mesin basuh, kipas dan barangan elektrik lain, berkata beliau terkejut apabila mendapati bayaran untuk penerima bujang telah dikreditkan ke dalam akaunnya selepas membuat semakan pagi ini.
Beliau yang menghidap penyakit lelah berkata pendapatannya tidak menentu kerana hanya memperoleh upah apabila menerima kerja membaiki barangan elektrik.
“Pendapatan saya tidak tetap, hanya dapat upah apabila ada kerja membaiki mesin basuh atau kipas. Bantuan ini sedikit sebanyak memberi sinar untuk saya membuat persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini, sekurang-kurangnya boleh membeli baju raya,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, jurukamera Mohammad Khairuddin Rushdi Ayuphan, 32, berkata penyaluran STR lebih awal memberi manfaat kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.
Menurut beliau, bantuan yang diterima lebih awal memberi ruang kepada penerima untuk merancang perbelanjaan persiapan Aidilfitri, termasuk membeli barangan keperluan, pakaian, dan makanan.
“Langkah ini amat tepat pada masanya kerana kos persiapan perayaan biasanya meningkat. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan membolehkan masyarakat menyambut Hari Raya dengan lebih selesa bersama keluarga,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan mempercepatkan penyaluran bantuan itu sebagai pendekatan prihatin terhadap keperluan rakyat yang berdepan cabaran kos sara hidup.
“Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah memberi kegembiraan dan kelegaan kepada ramai keluarga dalam membuat persiapan perayaan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembayaran STR Fasa Dua 2026 diawalkan kepada 10 Mac bagi membantu penerima membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Pembayaran awal itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion yang akan memanfaatkan kira-kira lima juta penerima di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial