WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEKTOR FOTONIK BOLEH PACU PASARAN OSAT MALAYSIA KEPADA US$4.6 BLN MENJELANG 2030

10/03/2026 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pengembangan sektor fotonik menjanjikan peluang baharu kepada industri pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) Malaysia, dengan pasaran diunjurkan meluas kepada kira-kira US$4.6 bilion menjelang 2030 apabila permintaan untuk infrastruktur rangkaian optik meningkat.

Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) melalui satu nota penyelidikan hari ini berkata peningkatan penggunaan fotonik dalam komunikasi data, khususnya dalam rangkaian pusat data kecerdasan buatan (AI), sedang menyaksikan peralihan nilai secara beransur-ansur ke arah pemasangan berketepatan tinggi, ujian kelayakan dan kebolehpercayaan.

“Bagi Malaysia, fotonik menjadi lebih 'seperti OSAT', dengan nilai semakin terikat dengan pemasangan berketepatan tinggi, kelayakan kebolehpercayaan termasuk daya pemprosesan ujian dan bukannya sekadar prestasi komponen sahaja," kata bank pelaburan itu.

Jika ekosistem modul optik meneruskan aktiviti pemasangan dan ujian penyumberan luar secara berperingkat, pemain OSAT Malaysia boleh mengambil bahagian dalam pengembangan kapasiti, terutamanya dalam kalangan pelanggan yang amat mengutamakan sistem kualiti yang kukuh, menghasilkan disiplin, kebolehkesanan dan saringan kebolehpercayaan.

“Faktor utama yang perlu dipantau adalah sama ada aliran pembungkusan fotonik menjadi cukup berulang untuk penyumberan luar secara besar-besaran dan sama ada pemilik modul bersedia bagi melayakkan rakan kongsi Asia Tenggara untuk langkah yang lebih kompleks seperti pemasangan atau penjajaran gentian, pembungkusan lanjutan dan ujian optik.

"Dengan mengandaikan 10 peratus bahagian OSAT daripada jangkaan pasaran datacom oleh LightCounting, peluang ini diunjurkan berkembang daripada US$1.7 bilion pada 2025 kepada US$4.6 bilion menjelang 2030, mewakili kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 22 peratus," katanya.

LightCounting merupakan syarikat penyelidikan dan perundingan pasaran yang memiliki kepakaran dalam industri komunikasi optik serta fotonik.

Selain itu, Kenanga IB juga berkata pemain automasi berada pada kedudukan yang baik bagi mendapat manfaat daripada cabaran pembuatan dalam industri fotonik yang semakin sesuai untuk automasi.

“Dalam automasi, pemain akan terarah untuk memanfaatkan kelemahan dalan industri yang kini boleh diselesaikan secara automasi.

"Ini termasuk penjajaran mikro, penglihatan atau pemeriksaan optikal automatik (AOI) dan pengendalian atau logistik di sekitar penyepaduan pembakaran serta ujian, menyokong persediaan jangka sederhana yang membina untuk penyepadu yang boleh menyampaikan sel secara lebih menyeluruh seperti gerakan, penglihatan, pengendalian, ujian dan kebolehkesanan," katanya lagi. 

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan