WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MENTERI LUAR CHINA, BAHRAIN BINCANG ISU ASIA BARAT

10/03/2026 09:37 PM

BEIJING, 10 Mac (Bernama-CMG) -- Kedaulatan, keselamatan dan integriti wilayah setiap negara harus dihormati, dan semua tindakan menyerang orang awam serta sasaran bukan ketenteraan harus dikecam.

Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Bahrain, Abdullatif bin Rashid Al Zayani di sini pada hari Isnin.

Wang berkata bahawa keadaan di rantau Teluk makin sengit dan keselamatan Bahrain juga terjejas, yang sudah dalam perhatian China.

"Tugas mendesak buat masa sekarang adalah menghentikan tindakan ketenteraan serta merta, dan mengelakkan peperangan daripada meluas.

"Kembali ke landasan yang betul untuk berdialog dan merunding secepat mungkin merupakan satu kaedah penyelesaian yang boleh membawa sinar harapan, yang dipercayai kondusif bagi pemulihan keamanan," kata Wang.

"Sebagai rakan strategik negara-negara Teluk dan negara kuasa besar yang bertanggungjawab, China konsisten dalam melakukan pengantaraan untuk menoktahkan peperangan dan mewujudkan keamanan.

"Wakil khas kerajaan China bagi isu Asia Barat yang berada dalam jadual lawatan di rantau itu  pada masa sekarang, akan segera memulakan lawatan ke Bahrain. China akan terus memainkan peranan yang konstruktif untuk keamanan dan kestabilan di rantau Teluk, dan Bahrain juga diharap terus bertindak menjaga keselamatan warga dan agensi China di negaranya, " kata beliau.

Sementara itu, Abdullatif berkongsi situasi serantau dan pendirian Bahrain dengan Wang, dengan mengatakan bahawa Bahrain sebagai negara yang mencintai kedamaian tidak sepatutnya dijadikan sasaran serangan yang tidak sah.

Pihak Bahrain menghargai dan merakamkan terima kasih atas pendirian adil China sambil menyuarakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan negara-negara Teluk dan China bagi meningkatkan komunikasi dan koordinasi di platform dua hala atau pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya dapat mencapai keamanan dan kestabilan serantau dengan seawal mungkin.

–BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan