WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INISIATIF RUMAH BANGSA DAPAT REAKSI POSITIF TOKOH POLITIK, BEKAS PEMIMPIN UMNO - AHMAD MASLAN

10/03/2026 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenal oleh UMNO mula menerima maklum balas positif daripada tokoh-tokoh politik termasuk bekas pemimpin parti Melayu itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Beliau berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin minggu lepas, antara lain membincangkan pendekatan memperkukuh inisiatif berkenaan.

Ahmad, yang juga Ahli Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, berkata mesyuarat turut memutuskan supaya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keterbukaan parti menerima kembali bekas ahli yang pernah digantung keahlian, dipecat atau meninggalkan parti sebelum ini.

“Sebagaimana kita sedia maklum, Presiden UMNO telah membuat kenyataan media menyatakan keterbukaan UMNO melalui Rumah Bangsa untuk menjemput mereka kembali bersama parti selain mengajak mereka yang belum menjadi ahli untuk menyertai perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata penelitian awal jawatankuasa mendapati beberapa tokoh telah menyatakan sokongan terhadap gagasan murni itu meskipun ada segelintir pihak yang meletakkan syarat tertentu sebelum mempertimbangkan untuk kembali bersama UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

Beliau berkata jawatankuasa itu, yang dianggotai 10 orang, turut ditugaskan mendekati beberapa bekas pemimpin utama dan dikenali ramai bagi mengadakan pertemuan serta perbincangan untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai idea murni Rumah Bangsa sebagai wadah penyatuan dalam usaha mengukuhkan perjuangan orang Melayu menerusi UMNO. 

Ahmad juga berkata usaha yang dipelopori Ahmad Zahid itu dilihat sebagai langkah penting untuk menyatukan kembali kekuatan politik Melayu di bawah payung UMNO sebagai parti teras orang Melayu.

“Penerimaan terhadap gagasan ini secara keseluruhan adalah positif… kita tidak memaksa sesiapa tetapi sebagaimana ditugaskan oleh Presiden UMNO, kita akan terus berusaha bertemu dan berbincang.

"Setakat ini, Jawatankuasa telah menerima beberapa permohonan daripada tokoh dan bekas pemimpin UMNO untuk menyertai Rumah Bangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan