WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KONTRAKTOR RUGI LEBIH RM9,000 DISAMUN INDIVIDU BERPARANG 

11/03/2026 08:30 AM

SHAH ALAM, 11 Mac (Bernama) -- Seorang kontraktor kerugian lebih RM9,000 selepas menjadi mangsa samun bersenjata di sebuah ladang sawit di sekitar kawasan Bukit Perah, Banting, pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata dalam kejadian itu mangsa berusia lingkungan 50-an telah didatangi oleh dua suspek lelaki warga tempatan yang bertanyakan jalan keluar dari ladang itu. 

Beliau berkata seorang daripada suspek kemudian mengeluarkan sebilah parang sebelum bertindak mengikat tangan serta kaki selain turut menendang muka mangsa lelaki warga tempatan itu sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian muka. 

“Suspek telah melarikan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna putih, sebuah telefon bimbit jenis Oppo, serta barangan peribadi pengadu termasuk dokumen penting dan wang tunai dianggarkan RM9,500.

“Hasil siasatan dan risikan pihak polis, kenderaan tersebut berjaya dijumpai dalam tempoh sejam selepas ditinggalkan oleh suspek di tepi jalan di sekitar Jalan Prima, Puchong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat melalui talian 03-3187 2222.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan