WILAYAH - SABAH > BERITA

SOGDC, SEDCO MINING METERAI MOU PERKUKUH PEMBANGUNAN INDUSTRI SABAH

11/03/2026 01:17 PM

KOTA KINABALU, 11 Mac (Bernama) -- Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan SEDCO Mining Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan industri di negeri ini, khususnya di kawasan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) dan Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SKSIP).

Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata kerjasama strategik antara dua syarikat berkaitan kerajaan di bawah kementeriannya itu dijangka menarik lebih banyak pelaburan industri ke kawasan itu.

“Saya mengalu-alukan inisiatif kerjasama strategik seperti ini yang dilaksanakan sesama syarikat berkaitan Kerajaan Sabah yang diletakkan di bawah tanggungjawab kementerian.

“Kerjasama bersepadu ini memudahkan penyelarasan pemantauan terutama berkaitan dasar dan perundangan, seterusnya memacu semangat berpasukan yang lebih kukuh sesuai dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SOGDC Mohd Azmir Ramli dan CEO SEDCO Mining Shamsul Bahri Johari disaksikan Ewon.

Ewon berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara dua entiti negeri yang memainkan peranan signifikan dalam memacu pembangunan ekonomi Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berpendirian bahawa pembangunan ekonomi Sabah memerlukan pendekatan bersepadu, dengan agensi pembangunan negeri bergerak secara bersama bagi mengoptimumkan potensi sumber serta peluang pelaburan.

“Apabila agensi pembangunan berada dalam ekosistem yang sama dan mempunyai matlamat pembangunan yang selari, proses perancangan dan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan efektif,” katanya.

Ewon berkata kerjasama itu turut membuka ruang kepada pembangunan lebih komprehensif di kawasan SOGIP yang merupakan antara hab industri strategik di Sabah.

“Melalui inisiatif seperti penambakan tanah, keluasan kawasan pembangunan industri di SOGIP berpotensi dipertingkatkan bagi menyokong kemasukan lebih banyak pelaburan industri pada masa depan,” katanya.

Katanya peningkatan kapasiti infrastruktur industri, pelabuhan dan logistik dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Sabah.

“Matlamat akhirnya adalah memastikan ekonomi Sabah terus berkembang secara progresif, pelaburan meningkat dan rakyat Sabah menikmati manfaat secara langsung melalui peluang pekerjaan, pembangunan industri serta peningkatan kesejahteraan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan