WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELAN INDUK PASARAN MODAL TEPAT PADA MASANYA WUJUDKAN PASARAN LEBIH DINAMIK-- AHLI EKONOMI

11/03/2026 03:47 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 yang dilancarkan pada Isnin merupakan rangka tindakan yang positif dan tepat pada masanya yang bertujuan mempertingkatkan pasaran modal Malaysia, kata ahli ekonomi.

Selain itu, katanya ia mengembangkan saiznya dengan ketara dalam jangka masa panjang.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata amat penting secara strategik untuk memberi tumpuan kepada mempelbagaikan sumber pembiayaan, membangunkan aset alternatif dan memperkukuh kewangan mampan.

"Inisiatif ini boleh membantu menarik lebih banyak modal ke dalam pasaran domestik, meningkatkan mudah tunai dan mewujudkan ekosistem pasaran modal yang lebih dinamik.

"Selain itu, tumpuan yang lebih kukuh terhadap kredit swasta boleh menyediakan saluran pembiayaan alternatif yang menyokong perniagaan tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mungkin berdepan kekangan dalam mengakses pembiayaan bank tradisional," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata CMP juga akan membantu meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau dengan memanfaatkan inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) untuk menarik pengurus aset global dan memperkukuh aliran pelaburan merentas sempadan.

"Asas kukuh Malaysia dalam kewangan Islam juga perlu dipertingkatkan melalui produk yang lebih sofistikated untuk bersaing di peringkat global dan menarik pelabur keluarga bernilai bersih ultra tinggi (UHNW) serta pelabur antarabangsa.

"Pada masa yang sama, mengurangkan halangan kemasukan bagi pemain pasaran modal baharu terutamanya syarikat tempatan akan membantu mempertingkat ekosistem dan melonjakkan daya saing pasaran," katanya.

Mohd Sedek berkata pelan induk itu juga boleh menambah baik laluan tawaran awam permulaan (IPO) sekali gus menjadikan Malaysia pasaran yang lebih cekap bagi syarikat yang ingin disenaraikan awam.

Beliau berkata CMP akan menggalakkan pengurus aset untuk membangunkan strategi pelaburan baharu yang tertumpu pada pasaran tempatan dan PKS sekali gus membantu menyalurkan modal institusi ke dalam sektor pertumbuhan domestik.

CMP merupakan usaha seluruh negara yang sejajar dengan keutamaan pertumbuhan negara termasuk rangka kerja Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia ke-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelan induk ini bertujuan mencapai empat matlamat iaitu memperkukuh pengumpulan modal, memberi ganjaran kepada dinamik perniagaan, menerapkan kemampanan sebagai pemacu nilai dan memperluas penyertaan bermakna merentasi ekonomi.

Sepanjang lima tahun, pasaran modal dijangka berkembang sebanyak RM1.5 trilion hingga RM2 trilion, meningkatkan saiznya kepada RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion di bawah CMP 2026–2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan